Jambatan Gantung Terpanjang Di Dunia Jadi Tarikan Pelancongan Republik Czech
Sebuah jambatan gantung yang dipercayai struktur binaan terpanjang seumpamanya di dunia kini dibuka di sebuah resort pergunungan di Republik Czech.
Jambatan untuk pejalan kaki sepanjang 721 meter itu dibina di altitud lebih daripada 1,100 meter dari paras laut. Ia menghubungkan dua tebing gunung dan tergantung setinggi 95 meter di atas kawasan lembah di bawahnya.
Dikenali sebagai Sky Bridge 721, ia terletak di bahagian timur laut negara itu, iaitu di kawasan pergunungan Kralicky Sneznik yang berdekatan dengan sempadan Poland. Dari ibu negaranya, Prague, lokasi tarikan pelancongan ini terletak 200 kilometer ke timur.
Jambatan berkenaan menawarkan pemandangan luar biasa kepada pengunjung yang berani berdepan faktor ketinggian. Sekitar 500 orang dibenarkan berada di atas jambatan itu pada satu masa, namun bilangan itu dikurangkan kepada separuh untuk dua minggu pertama menjelang pembukaannya.
Jambatan itu juga akan ditutup atas sebab keselamatan jika bacaan kelajuan angin mencecah 135 kilometer sejam.
Projek pembinaannya mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dan menelan belanja sebanyak 200 juta Crown Czech (RM36.5 juta).
Projek berkenaan tidak terlepas daripada menerima kritikan aktivis, yang mendakwa strukturnya terlalu besar untuk persekitaran di kawasan itu. Pada masa yang sama, ada juga yang berhujah bahawa kewujudannya hanya akan membuatkan kebanjiran pelancong ke kawasan pekan kecil itu yang hanya dihuni kurang daripada 500 orang.
Badan penggalak pelancongan, CzechTourism, bagaimanapun percaya bahawa jambatan itu mampu menarik kedatangan pelancong dari seluruh dunia.