'Blue Ring Hole' Sabah Bakal Jadi Syurga Penyelam Skuba!

April 29, 2022 - 12:38 PM


Korang tahu tak bahawa hanya terdapat 10 tapak Blue Hole di seluruh dunia dan salah satunya berada di negara kita iaitu di Terumbu Tingkayu, Teluk Darvel, Lahad Datu, Sabah!

Lebih istimewa apabila kesemua tapak Blue Hole itu masing-masing mempunyai hanya satu struktur lubang biru -- tetapi di Lahad Datu ia lebih menarik kerana Blue Ring Hole ditemukan dengan dua struktur lubang biru.

Dengan kelebihan dan keunikan tersebut -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bakal mempromosikan lokasi berkenaan secara agresif sebagai tapak selaman skuba ikonik negara serta memperkenalkannya antara produk pelancongan baharu negara.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri yang telah melawat sendiri ke Blue Ring Hole memaklumkan bahawa pihaknya akan membantu untuk mempromosikan produk pelancongan baharu, selepas negara beransur pulih dari COVID-19.



Blue Ring Hole yang dikenali sebagai Takat Tenggiri dalam kalangan nelayan tempatan itu, terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Lahad Datu dan mengambil masa 30 minit untuk ke lokasi menggunakan bot laju.

Dalam pada itu Nancy berkata banyak aktiviti pelancongan yang boleh dilakukan di tempat berkenaan termasuk aktiviti selaman skuba dan selam snorkel.

"Pelancong domestik atau antarabangsa yang mahu menikmati percutian berbeza yang jauh dari bandar, boleh ke sini," katanya.



Sumber: Bernama

Destination: