Perak Muncul Negeri Pertama Lancar Pawagam 'Drive-In' Di Malaysia

July 28, 2020 - 03:31 PM


Jika sebelum ini Kerajaan telah memberikan 'lampu hijau' untuk mewujudkan pawagam pandu masuk di negara ini bagi mematuhi penjarakan sosial sekaligus mengelakkan penularan jangkitan pandemik COVID-19.

Perak pula menjadi negeri pertama di Malaysia yang melancarkan panggung wayang seumpama itu di Ipoh yang diberi nama "Casuarina Sini-Drive".

Pawagam 'drive-in' itu yang terletak di Downtown Meru kini telahpun mula beroperasi dan boleh memuatkan sebanyak 70 kenderaan pada satu-satu masa.

Bagi orang ramai yang berminat untuk merasai pengalaman menonton wayang dari dalam kenderaan masing-masing seperti di luar negara, anda kini boleh membuat tempahan tiket tayangan filem secara dalam talian di laman web www.sini-drive.com.my

Setiap kenderaan akan dikenakan bayaran antara RM36 hingga RM42 dan disertakan dengan set snek serta minuman.

Para pengunjung boleh menikmati tayangan filem pelbagai genre termasuk filem aksi dan Bollywood bermula jam 8 malam hingga 11 malam pada skrin berkeluasan 6x18 meter itu setiap hari kecuali Isnin bermula 18 Julai lepas.

Bagi mewujudkan suasana tayangan persis di panggung wayang, satu frekuensi khas audio juga akan diberikan kepada penonton agar mereka dapat mendengar sistem bunyi tayangan filem berkenaan daripada  radio kenderaan masing-masing.

Lebih menarik, panggung wayang pandu masuk seperti Casuarina Sini-Drive itu juga bakal diperluaskan di lokasi lain seperti Kuala Kangsar dan Kampar, Perak sekiranya ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung.

Sumber: Berita Harian

Artikel berkaitan : Pawagam 'Drive-In' Pertama Malaysia Bakal Terlaksana, Kerajaan Dah Bagi Lampu Hijau!

Destination: