Pawagam 'Drive-In' Pertama Malaysia Bakal Terlaksana, Kerajaan Dah Bagi Lampu Hijau!
TERKINIWow...nampaknya impian rakyat Malaysia yang ingin merasai pengalaman menonton wayang dari dalam kereta yang pertama di negara ini bakal menjadi realiti tidak lama lagi.
Beberapa hari lepas, viral di media sosial mengenai sebuah syarikat bernama M-Junction yang dikatakan bakal membuka pawagam drive-in pertama di Malaysia, meskipun belum ada maklumat terperinci mengenai filem, lokasi dan masa tayangannya yang diumumkan oleh syarikat berkenaan.
Namun, hari ini (9 Julai 2020) -- Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan kebenaran kepada aktiviti pawagam drive-in itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Kebenaran itu dinyatakan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menegaskan bahawa terdapat beberapa SOP yang perlu dipatuhi, antaranya :-
1) Pengunjung mesti berada di dalam kenderaan masing-masing
2) Penjualan makanan dibuat secara dalam talian
3) Proses mengambil makanan dilakukan secara pandu lalu
4) Petugas RELA juga perlu ditempatkan untuk mengawal pergerakan pengunjung
Bagi mengetahui perkembangan terkini mengenai pawagam drive-in itu, orang ramai boleh layari laman web www.mjunction.my untuk senarai menunggu.
Sebelum ini, konsep menonton wayang filem dari dalam kenderaan masing-masing telahpun popular di beberapa buah negara dan Thailand merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang sudah memulakan konsep wayang sebegitu.
Sementara baru-baru ini di Korea Selatan, pawagam drive-in menjadi semakin terkenal dan digemari oleh golongan anak muda kerana membolehkan mereka menjaga jarak sosial dengan penonton lain bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.
Sumber: Astro Awani