Kuala Terengganu Pecah Rekod Miliki Pawagam Pertama Di Malaysia Ada Zon Asingkan Jantina

TERKINI
July 06, 2020 - 03:57 PM


Siapa dekat sini yang dah mula tengok wayang di pawagam selepas dibenarkan oleh Kerajaan sejak 1 Julai lalu?

Min belum lagi jejakkan kaki ke mana-mana panggung wayang sebab masih mencari mood nak tengok citer apa paling best untuk menghilangkan kemurungan selepas berkurung di rumah berbulan-bulan lamanya..hehehe

Selepas lama dah tak beroperasi, ada sebuah cinema di Kuala Terengganu telah memecahkan rekod sebagai panggung wayang pertama di Malaysia yang melaksanakan zon pengasingan mengikut jantina.

Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu yang terletak di Paya Bunga (PB) Square telah membuat kejutan untuk pengunjungnya apabila mereka melaksanakan 'Zon Pengasingan Tempat Duduk' bagi kaum lelaki, wanita dan keluarga.

Menurut Pengurus LFS Kuala Terengganu, Mohd Zulmajdi Razali -- peraturan baharu itu yang dikuatkuasakan bermula 1 Julai lepas itu adalah arahan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengikut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.

“Pelaksanaan peraturan baharu ini akan dikuatkuasakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mengikut syariat Islam atau patuh syariah,” katanya.

Pihak pengurusan LFS bertanggungjawab untuk melakukan pengasingan lelaki dan wanita bukan mahram serta membuat pemantauan di dalam panggung wayang sekiranya berlaku keadaan atau situasi mencurigakan.

Bagi panggung wayang yang keluasannya agak kecil, mereka yang berkeluarga boleh memilih untuk duduk di mana-mana tempat duduk yang disediakan.

Manakala bagi dewan yang agak luas, LFS telah membahagikan tempat duduk bahagian tengah panggung wayang untuk pasangan berkeluarga, namun bergantung kepada keadaan semasa -- di mana terdapat juga pengunjung lelaki atau wanita ditempatkan di tempat duduk bahagian tengah sekiranya keadaan memerlukan asalkan menjaga batasan antara satu sama lain.

Jadi kalau korang yang duduk atau bercuti ke Kuala Terengganu dan nak tengok wayang di LFS, tiket hanya boleh dibeli secara manual di kaunter tiket panggung wayang berkenaan, berikutan tempahan secara dalam talian ditutup buat masa ini berikutan pelaksanaan peraturan baharu itu.

Untuk pengetahuan korang, peraturan Zon Pengasingan Tempat Duduk itu juga terpakai untuk pengunjung bukan Islam.

Sumber: Sinar Harian & Facebook LFS
 

Destination: