Phantasy Farm Port Dickson - Satu Lagi 'Petting Zoo' Yang Seronok Bawa Anak-Anak Belai Haiwan

TRAVEL
October 26, 2020 - 03:27 PM


Jika anda membawa keluarga berjalan-jalan dan bersantai ke pantai peranginan terkenal di Negeri Sembilan iaitu Port Dickson, anda jangan lepaskan peluang untuk membawa anak-anak beriadah ke satu tarikan baru di sana iaitua PHANTASY FARM!

Phantasy Farm merupakan sebuah 'petting zoo' yang lebih kurang sama konsepnya dengan Farm in the City yang ada di Selangor, tetapi ramai yang mengatakan Phantasy Farm adalah jauh lebih menyeronokkan disebabkan ia mempunyai lebih banyak spesies haiwan menarik yang dipamerkan serta mempunyai beberapa tarikan lain yang cukup memberikan keterujaan.

Antara haiwan yang menjadi tarikan di Phantasy Farm ialah Alpaca, ostrich, meerkat, chameleon, African Pygmy Goats, rusa, kura-kura gergasi, tikus belanda dan banyak lagi -- semuanya jinak-jinak belaka dan boleh disentuh, dibelai serta diberi makan.

Anak-anak pastinya antara golongan yang paling teruja kalau dapat mendekati haiwan-haiwan berkenaan berbanding mereka hanya dapat melihatnya dari dalam sangkar dan dari kejauhan sahaja.

Harga tiket masuk untuk ke Phantasy Farm ini adalah RM35 untuk dewasa dan RM29 untuk kanak-kanak. Malah mereka turut menawarkan harga tiket secara pakej untuk satu keluarga di mana 2 dewasa + 2 kanak-kanak hanya berharga RM109.

Di pintu masuk juga anda boleh membeli makanan untuk diberikan kepada haiwan di situ dengan harga sebakul RM10.

Selepas dah puas bermesra dan memberi makan kepada haiwan-haiwan tersebut, anda juga boleh meluangkan masa dan bergambar cantik di beberapa lagi tarikan yang ada di Phantasy Farm itu seperti:

- Rumah Pokok Pelangi

- Kincir Angin Warna-Warni

- Rumah Hantu 

- Perkampungan Budaya

Kesemua tarikan tersebut adalah percuma dan telah termasuk dengan harga tiket ke Phantasy Farm.

Jadi tunggu apa lagi, kalau tak tahu nak bawa anak-anak ke mana pada cuti hujung minggu nanti, bolehlah bawa mereka jalan-jalan seharian ke Phantasy Farm.

PHANTASY FARM

Alamat: Lot 3636, Jalan Pantai Batu 9, Kampung Sungai Menyala, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan.

Waktu Operasi: Hari Biasa (10 Pagi - 6 Petang), Hujung Minggu (9.30 Pagi -6 Petang)

Tutup: Setiap Selasa Kecuali Pada Cuti Umum atau Cuti Sekolah. 

Kredit Gambar: FB Phantasy Farm

Destination: