Putrajaya Bakal Jadi Destinasi Peminat Sukan Ekstrem 'Base Jump'
Selain lokasi ikonik iaitu Menara Kuala Lumpur, kini penggemar sukan ekstrem terutama acara terjunan atau 'Base Jump' mempunyai satu lagi alternatif lain iaitu terjun dari bangunan-bangunan tinggi di Putrajaya!
Ini kerana Perbadanan Putrajaya (PPj) merancang untuk menjadikan acara terjunan ekstrem, Putrajaya Base Jump, sebagai antara produk pelancongan sukan di bandar pentadbiran negara itu.
Memetik laporan Bernama, Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata ia selaras dengan hasrat PPj untuk mempromosikan wilayah ini sebagai bandar sukan dan seterusnya sebagai hab sukan ekstrem.
"Bangunan-bangunan di Putrajaya ini amat sesuai untuk kita menganjurkan dan melaksanakan aktiviti sukan lasak seperti ini.
"Pada masa hadapan, kita nak lebih banyak aktiviti sukan dianjurkan di sini, tambahan pula secara purata kira-kira 15,000 hingga 17,000 pelawat berkunjung ke Putrajaya untuk bersukan dan beriadah setiap hujung minggu," katanya.
Sumber: Bernama