Sabah Bakal Miliki Kompleks Pelancongan Untuk Lihat Lebih Dekat Hidupan Liar Di Kinabatangan

November 03, 2020 - 04:07 PM


Sabah bakal memiliki sebuah kompleks pelancongan bagi membolehkan pelancong melihat dan mengalami sendiri habitat hidupan liar serta alam sekitar di kawasan Kinabatangan.

Hidupan liar di Sabah, terutama di Kinabatangan, dianggap antara spesies terbaik di dunia dan telah menarik ramai kedatangan pelancong asing.

Meskipun kini terdapat pakej pelayaran bot untuk pelancong mengikuti aktiviti bagi memerhati hidupan liar dengan menelusuri Sungai Kinabatangan, namun dengan pembinaan kompleks pelancongan berkenaan diharap ia membantu merancakkan lagi sektor pelancongan di kawasan tersebut.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah akan menyerahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) untuk mengenal pasti tapak yang sesuai untuk kompleks tersebut.

Malah, Sabah juga berhasrat untuk mewartakan Sungai Kinabatangan sebagai kawasan habitat tempat perlindungan hidupan liar sehingga kerajaan dapat melaksanakan usaha pemuliharaan hidupan liar di Sabah dengan lebih baik.

Untuk rekod, hanya kawasan daratan Kinabatangan yang diwartakan sebagai tempat perlindungan hidupan liar seluas 26,000 hektar pada tahun 2005.

Sumber: Bernama

Destination: