Sabah 'Lambai' Pelancong Dengan 8 Tarikan Yang Rugi Kalau Tak Pergi!

May 25, 2022 - 03:23 PM


Antara keunikan Sabah, pasti keindahan puncak Gunung Kinabalu yang sentiasa menjadi sebutan.

Namun, lebih daripada itu -- negeri di bawah bayu itu sebenarnya memiliki banyak lokasi tarikan pelancongan untuk anda dikunjungi.

1) DESA CATTLE DAIRY FARM KUNDASANG 

Salah satunya Desa Cattle Dairy Farm yang terletak di tanah tinggi, Kundasang.

Digelar sebagai mini New Zealand, panorama bukit bukau dan rumput yang hijau di sekeliling ladang ternakan lembu itu tidak ubah seperti di negara kiwi.

Ditambah pula dengan cuaca yang nyaman, tidak hairanlah jika kawasan Kundasang kini semakin popular dalam kalangan pelancong luar dan tempatan.

2) KLIAS WETLAND RIVER CRUISE

Bagi penggemar eko pelancongan pula, jangan ketinggalan berkunjung ke timur Beaufort, untuk menikmati keindahan persisiran sungai dengan Klias Wetland River Cruise.

Jika memilih untuk menyelusuri sungai pada sebelah petang, anda dapat melihat dengan jelas sekitar hutan paya bakau yang menjadi habitat kepada pelbagai jenis hidupan liar.

Lain pula pengalaman yang bakal ditempuhi sekiranya mengikuti River Cruise pada sebelah malam kerana pada ketika ini sekitar sungai akan mula dihiasi oleh cahaya berkerdipan kunang-kunang.

3) LOK KAWI WILDLIFE PARK

Di Taman Hidupan Liar Lok Kawi pula, pengunjung dapat melihat pelbagai spesis haiwan liar seperti orang utan, monyet belanda, harimau, gajah dan banyak lagi.

Taman berkenaan terbahagi kepada dua bahagian iaitu zoologi dan botani, pengunjung biasanya akan mengambil masa kira-kira dua jam untuk selesai melihat segalanya.

4) KOLAM AIR PANAS PORING

Untuk bersantai bersama keluarga, kunjungilah Kolam Air Panas Poring yang menyediakan pelbagai tarikan sampingan lain seperti laluan kanopi, kawasan air terjun, taman rama-rama, muzium serangga, gua keluang, merentas hutan dan banyak lagi.

5) MARI-MARI CULTURAL VILLAGE

Jika ingin mendalami etnik-etnik Sabah, Mari-Mari Cultural Village di Kampung Kionsom, Inanam menawarkan pengalaman interaktif.

Muzium itu memaparkan keunikan lima rumah etnik utama di Sabah termasuk Kadazan Dusun, Rungus dan Bajau.

Ia terletak hanya sekitar 20 minit dari Bandaraya Kota Kinabalu dan dibina di sepanjang Sungai Kionsom di kawasan hutan seluas tujuh hektar.

6) TAMAN LAUT TUNKU ABDUL RAHMAN

Bagi yang mahu menerokai keindahan pulau dan hidupan marin, kunjungilah Taman Laut Tunku Abdul Rahman yang terdiri daripada gugusan lima pulau iaitu Gaya, Sapi, Manukan, Mamutik dan Sulug.

Dari semua itu, hanya empat pulau yang terkenal dalam kalangan pelancong iaitu Pulau Gaya, Sapi, Manukan dan Mamutik.

Untuk menuju ke pulau terbabit, pengunjung boleh mendapatkan bot dari Jesselton Point yang terletak di bandar Kota Kinabalu.

7) PULAU BOHEY DULANG

Dalam pada itu, antara pulau yang paling cantik dan menjadi pilihan pelancong ketika ini ialah Pulau Bohey Dulang, iaitu satu daripada lapan pulau yang terdapat di Taman Marin Tun Sakaran.

Keistimewaan Pulau Bohey Dulang ialah mempunyai puncak bukit setinggi 300 meter, dari situ, pengunjung berpeluang menikmati pemandangan indah lautan biru dan bukit yang hijau.

8) GAYA STREET

Sementara itu, jika percutian anda hanya tertumpu di sekitar Kota Kinabalu, jangan lupa kunjungi pasar pagi di Jalan Gaya.

Pasar yang asalnya dikatakan diberi nama Bond Street itu sudah lama wujud dan dibuka setiap Ahad seawal 6 pagi hingga 12 tengahari.

Pelbagai jenis barangan boleh didapati di pasar berkenaan antaranya makanan tradisional Sabah, produk hasil laut, pakaian, cenderamata, kraf tangan, bunga, buah-buahan, herba, barangan antik dan bermacam lagi.

Sumber: Harian Metro

Destination: