Wow, Hari Merdeka Tahun Ni Guna Gabungan Teknologi Canggih. Nak Bagi Rakyat 'Feel' Macam Sambutan Dari Lokasi Sebenar!

August 20, 2021 - 06:54 PM


Disebabkan sambutan Hari Kebangsaan yang bakal disambut pada hujung bulan ini masih dalam fasa pandemik Covid-19 -- itu bukanlah alasan untuk kita sebagai rakyat Malaysia tidak menghayati semangat kemerdekaan negara.

Bersesuaian dengan norma baharu sambutan Hari Kebangsaan 2021 bakal mengetengahkan konsep 'Mix Reality' iaitu gabungan penerbitan secara fizikal, teknologi AR (Augmented Reality) dan juga XR (Extended Reality), yang berbentuk interaktif dan berteknologi tinggi.

Dengan gabungan teknologi yang digunakan, rakyat Malaysia yang ketika ini sedang menjalankan perintah berkurung di rumah berpeluang menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan secara maya, yang disiarkan di semua stesen televisyen tempatan dan Facebook Live melalui Facebook Live Merdeka360 dan Facebook Live Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ia sekaligus bakal memberikan pengalaman kepada penonton seakan mereka menyaksikannya dari tempat kejadian yang sebenar iaitu di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pada 31 Ogos depan.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid berkata sambutan Hari Kebangsaan akan tetap diteruskan meskipun negara berhadapan dengan pandemik COVID-19, kerana hari tersebut merupakan tarikh keramat buat rakyat Malaysia.

"Faktor keselamatan sentiasa dititik beratkan, kita pastikan mereka yang terlibat sudah lengkap menerima dua dos vaksin dan patuh kepada SOP, selain sentiasa mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Selain itu, Mohd Sukari berkata tema 'Malaysia Prihatin', dipilih sekali lagi sama seperti tahun lepas, kerana Malaysia masih dalam perjuangan memerdekakan diri dari pandemik COVID-19.

"Malaysia Prihatin membawa pengertian bahawa seluruh rakyat Malaysia turut bersama-sama dengan kerajaan memerangi COVID-19," katanya.

Mohd Sukari turut menyeru orang ramai untuk memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dan kenderaan masing-masing, selain menyertai program dan pertandingan yang dianjurkan.

Maklumat lanjut mengenai program dan pertandingan yang dianjurkan boleh dilayari di Portal Merdeka360 iaitu www.merdeka360.my.

Sumber: BERNAMA

Destination: