3 Kereta Terbakar Di Parkir Bertingkat Stesen LRT Gombak

TERKINI
July 10, 2024 - 08:25 PM


Orang ramai yang berada di sekitar Stesen LRT Gombak gempar apabila berlaku kebakaran di aras tiga tempat letak kereta bertingkat di situ. 

Kejadian yang berlaku petang tadi melibatkan tiga buah kereta. Bagaimanapun, pihak Bomba Selangor berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya.

Mujurlah tiada mangsa yang terlibat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 3.47 petang.

"Seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh 11 kilometer," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ahmad Mukhlis berkata, setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati kebakaran di tingkat tiga kawasan parkir itu melibatkan sebuah kereta Proton Persona musnah 40 peratus dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV serta kereta Toyota Vios masing-masing musnah lima peratus.

"Kejadian itu tidak melibatkan mangsa, punca kebakaran masih dalam siasatan," ujarnya.

Sumberr: Sinar Harian