4 Remaja Ditahan, Rogol Kanak-Kanak 11 Tahun Di Air Terjun

TERKINI
July 19, 2024 - 06:20 PM


Polis menahan empat remaja lelaki semalam kerana disyaki merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata suspek berusia antara 14 hingga 17 tahun ditahan di lokasi berbeza antara jam 3 petang hingga 10 malam selepas mangsa membuat laporan polis jam 12.26 tengah hari semalam.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, suspek pertama dan kedua merogol mangsa secara bergilir-gilir di dalam kereta ketika mangsa keluar bersama suspek di Air Terjun Lata Kinjang, Tapah jam 6.30 petang kelmarin

"Pada 8.30 malam, hari yang sama, suspek ketiga merogol mangsa ketika mangsa mengikuti suspek pulang ke rumahnya di sekitar daerah Hilir Perak.

"Seorang lagi suspek merogol mangsa pada jam 12.30 tengah malam Khamis di kawasan semak di Teluk Intan ketika mangsa dan suspek keluar bersiar-siar.

"Hasil soal siasat awal yang dijalankan didapati kesemua suspek termasuk dua masih bersekolah mengaku terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, mangsa mengenali suspek pertama melalui media sosial sebelum suspek pertama memperkenalkan pula mangsa kepada tiga lagi individu terbabit.

Ahmad Adnan berkata, Mahkamah Majistret Teluk Intan pada pagi tadi membenarkan empat remaja lelaki itu ditahan reman selama tiga hari sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.

Destination: