Abang Bas Didakwa Lakukan Amang Seksual, Nangis Di Kandang Tertuduh

TERKINI
September 10, 2024 - 11:50 AM


Abang Bas yang sebelum ini tular dengan memuat naik rakaman video penumpang bas sekolah sebagai ‘crush’ atau ‘kesayangan’ menangis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual kanak-kanak, sejak April lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan mencium pipi kanak-kanak perempuan yang juga anak saudaranya berusia empat tahun bagi maksud seksual antara pukul 5 hingga 6 petang di dalam sebuah bas sekolah di Simpang Renggam dalam daerah Kluang pada April sehingga September 2024.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual antara pukul 5 petang hingga 6 petang bertempat di dalam bas sekolah di alamat sama, pada bulan ini.

Justeru, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan amang seksual bukan fizikal di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

 

Destination: