Akibat Hisap Vape 'Magic Mushroom' Berlebihan, Pelajar Tingkatan 4 Alami Sawan Kritikal
TERKINIUmum pastinya mengetahui aktiviti menghisap rokok elektronik atau vape boleh mendatangkan kemudaratan kepada tubuh badan. Namun, aktiviti tersebut tetap juga dilakukan dan berleluasa dalam kalangan dewasa sehingga diikuti budak sekolah.
Lebih mengejutkan, antara trend terkini dalam kalangan pelajar adalah vape jenis magic mushroom yang dikatakan lebih bahaya berbanding vape jenis lain.
Terkini, seorang pelajar dari sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Kemaman, Terengganu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai selepas menghisap rokok elektronik atau vape jenis magic mushroom secara berlebihan.
Pelajar lelaki berusia 16 tahun tersebut pada awalnya ditemui oleh rakannya yang kemudian terus memaklumkan perkara itu kepada guru di situ.
Dia kemudiannya dibawa ke klinik kesihatan yang terdekat sebelum dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Kemaman setelah mendapat rujukan rawatan daripada klinik kesihatan tersebut.
Hasil pemeriksaan, doktor mendapati pelajar lelaki tersebut mengalami sawan kritikal akibat pengambil bahan kimia yang berlebihan.
Difahamkan, kegiatan menghisap vape dalam kalangan pelajar di sekolah terbabit telah dikesan aktif sejak tiga tahun lalu dan ia berada di tahap yang membimbangkan.
Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh keluarga mangsa berhubung insiden yang berlaku itu. Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritenden Hanyan Ramlan juga telah mengesahkan pihaknya telah menerima laporan tersebut.
Sebagai info, satu laporan Southeast Asia Tobacco Control Alliance (SEATCA) mendedahkan 30% perokok elektronik di Malaysia terdiri daripada individu berumur 12 hingga 15 tahun.
Sumber: Buletin TV3 & The Rakyat Post