Balai Polis Ulu Tiram Diserang: Dua Anggota Maut, Seorang Cedera Parah
TERKINIAwal pagi tadi, Balai Polis Ulu Tiram telah diserang seorang lelaki bertopeng yang bersenjata parang hingga mengakibatkan dua anggota maut dan seorang cedera parah.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 2 pagi itu, suspek mencederakan dua anggota polis yang bertugas dan merampas dua laras senjata serta melepaskan dua das tembakan terhadap seorang daripada mereka.
Difahamkan, mangsa dikenali sebagai Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, dipercayai meninggal dunia kerana ditetak di bahagian belakang leher dan kepala.
Seorang lagi anggota polis berpangkat konstabel, Muhamad Syafiq Ahmad dipercayai maut kerana ditembak di bahagian perut dan lengan.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, berpangkat koperal yang ditembak suspek kini dilaporkan berada di zon merah di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, dalam kejadian itu suspek turut ditembak mati di tempat kejadian.
Menurutnya, anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke bahagian forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital berkenaan.
"Pihak kita sesal dengan kejadian yang berlaku. Siasatan awal mendapati anggota ditetak dan ditembak.
"Siasatan lanjut dijalankan polis," katanya.
Pengesahan lanjut mengenai kejadian masih belum dikeluarkan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sumber: Harian Metro