"Dakwaan Kereta Rakyat Singapura Jadi Sasaran Pencuri Tidak Benar" - Polis Johor

TERKINI
May 14, 2024 - 10:54 AM


Sebelum ini, tular satu hantaran yang dimuat naik oleh akaun Facebook SGKaypoh pada 5 Mei lalu yang menunjukkan satu nota ditampal pada cermin sebuah kereta Singapura.

"Tolong jangan pecahkan tingkap saya lagi, tiada apa-apa untuk dicuri," mesej dalam nota tersebut.

Hantaran tersebut telah menyebabkan spekulasi bahawa kereta Singapura sering menjadi sasaran pencuri di Malaysia.

Terbaru, Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat menafikan dakwaan tersebut. Beliau juga menegaskan hantaran itu tidak tepat dan jauh daripada realiti sebenar. 

"Hantaran itu agak keterlaluan. Polis sentiasa komited untuk memastikan keselamatan semua, termasuk warga Singapura yang datang ke sini.

"Purata 250,000 kereta berdaftar Singapura memasuki Johor setiap hari dan jika semua kereta ini dipecahkan tingkapnya, maka kita akan melihat ramai orang membuat laporan di balai polis di sini," katanya.  

Beliau turut mengatakan bahawa peratusan kes kecurian yang melibatkan kereta dipecah adalah agak rendah dan merupakan insiden biasa. 

"Untuk mengatakan kenderaan berdaftar Singapura sentiasa menjadi sasaran pencuri adalah tidak betul kerana polis juga menerima laporan rakyat Malaysia bahawa kereta mereka dipecah," katanya. 

Tambahnya, pemilik kereta juga mempunyai tanggungjawab untuk tidak meninggalkan barang berharga di dalam kenderaan mereka mahupun meletakkan di kawasan gelap atau kawasan berbahaya. 

Sebagai tindakan pencegahan, beliau menjelaskan bahawa pihak polis telah meningkatkan rondaan mereka, terutamanya pada waktu malam. 

 

Sumber: Majoriti

Destination: