Empat Individu Masak Di Stesen Minyak Mengaku Bersalah & Dihukum Denda RM500

TERKINI
May 21, 2024 - 01:35 PM


Empat individu yang tular melakukan aktiviti memasak di sebuah stesen minyak di Genting Highlands, pada 12 Mei lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Bentong. 

Keempat-empat individu terbabit telah mengaku bersalah di hadapan Majistret Nadhratun Naeiem Zainan. 

Selain itu, Majistret Nadhratun Naeiem Zainan juga melemparkan pertanyaan kepada seorang lelaki dan tiga wanita tersebut tentang tindakan yang dilakukan. 

“Bagaimana awak semua boleh terfikir untuk memasak di stesen minyak? Awak tak fikir ke di bawah itu ada tangki minyak? Lepas itu muat naik dalam media sosial," katanya. 

Dalam prosiding yang berlangsung hari ini, tertuduh yang juga ejen hartanah, Nur Azira Azman, 23; Fadhli Zil Ikram Sazalin Isran (peniaga kedai makan), Nur Fatin Irdina Shahrulnizam (pegawai khidmat pelanggan) dan Nur Anis Salleh (pembantu pergigian) masing-masing berusia 24 tahun dituduh di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama. 

Kesemua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan meminta agar denda dapat dikurangkan kerana masing-masing perlu menanggung ibu bapa dan adik-beradik selain ia merupakan kesalahan pertama mereka. 

Nadhratun Naeiem kemudian mengarahkan semua tertuduh membayar denda RM500. 

Dalam prosiding tersebut, tertuduh pertama, Fadhli mengakui kesilapan tersebut dan memberitahu mahkamah pada awalnya mereka merancang untuk memasak di tempat lain namun sudah penuh.

Justeru itu, mereka bertindak memasak di kawasan stesen minyak berkenaan dan beranggapan tempat mereka memasak itu adalah jauh dari ‘nozel’ minyak dan ianya berada di laluan ke tandas.

Sementara tertuduh kedua, Nur Fatin berkata perbuatan tersebut adalah secara rawak kerana mereka telah lapar tanpa memikirkan bahaya yang timbul di kawasan stesen minyak berkenaan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. 

 

Sumber: Kosmo

Destination: