Gangguan IT Skala Besar Jejaskan Operasi Penerbangan, Bank, Media & Hospital Di Serata Dunia

TERKINI
July 19, 2024 - 05:32 PM


Gangguan Information Technology (IT) secara besar-besaran telah menyebabkan kekacauan dalam sistem komputer global sehingga menjejaskan institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, media dan hospital. 

Dilaporkan gangguan yang berlaku di seluruh dunia ini dikaitkan dengan firma keselamatan siber global Crowdstrike.

CrowdStrike Holdings Inc ialah sebuah syarikat teknologi keselamatan siber Amerika yang berpangkalan di Austin, Texas.

Menurut agensi berita Sputnik di X, platform keselamatan siber CrowdStrike mengalami kejatuhan di seluruh dunia sehingga menyebabkan masalah IT global dan gangguan terhadap syarikat penerbangan antarabangsa, bank dan saluran media. 

BBC juga melaporkan bahawa gangguan IT secara besar-besaran telah menyebabkan pesawat tidak boleh berlepas dan menjejaskan bank, penyiar dan perniagaan di seluruh dunia. 

Akaun X Bloomberg pula melaporkan bahawa satu siri gangguan teknikal, yang dicetuskan oleh gangguan Microsoft dilaporkan, mengganggu perkhidmatan di seluruh dunia, menjejaskan sektor daripada syarikat penerbangan hingga perbankan. 

Di Australia, Al Jazeera di X @AJEnglish melaporkan gangguan IT besar yang menjejaskan bank, telekomunikasi, saluran media dan syarikat penerbangan.  

Juga di Australia, Lapangan Terbang Melbourne melalui akaun Xnya @MelAir berkata bahawa ia sedang mengalami isu teknologi global yang memberi kesan kepada prosedur daftar masuk untuk beberapa syarikat penerbangan. 

Sementara itu di Malaysia, syarikat perkhidmatan kereta api, KTMB telah mengumumkan gangguan yang dihadapinya.  

Walau bagaimanapun, perkhidmatan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tidak terjejas oleh gangguan IT global yang mengakibatkan gangguan perjalanan besar di Eropah, Amerika Syarikat serta lapangan terbang Australia.

Syarikat penerbangan tambang rendah tempatan AirAsia berkata walaupun ia mengalami gangguan sistem dalaman, tiada pembatalan penerbangan.

Difahamkan Malaysia Airlines juga tidak terjejas namun penerbangan ke destinasi yang terjejas akibat gangguan IT global itu boleh menjejaskan penerbangan yang dibuat meskipun tiada pembatalan setakat ini.

 

Sumber: X & Harian Metro

Destination: