Gara-Gara Takut Kantoi Berkhalwat, Lelaki Pecut Kereta Sehingga Terbabas

TERKINI
May 10, 2024 - 11:10 AM


Gara-gara takut disyaki sedang berkhalwat di dalam kereta, sepasang kekasih nekad melarikan diri dengan memecut kenderaan sejauh kira-kira 14 kilometer dari kawasan Hutan Simpan Masjid Tanah hingga ke Paya Lebar, malam tadi.  

Walau bagaimanapun, tindakan tersebut telah menyebabkan kereta yang dipandu terbabas sehingga masuk ke dalam sungai.

Menurur sumber, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, pemandu yang berusia 30 tahun bertindak memecut Perodua Myvi yang dinaiki bersama pasangannya selepas berselisih dengan kenderaan Unit Kereta Peronda (MPV) polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan hutan simpan berkenaan. 

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.30 malam tadi dan pemandu terus keluar dari kereta dan berenang meninggalkan pasangannya untuk melarikan diri. 

"Setiba di Paya Lebar, kereta itu terbabas ke dalam sungai dan pemandunya terus melarikan diri dengan berenang ke seberang.

"Anggota peronda yang tiba di tempat kejadian membuat pemeriksaan ke atas kenderaan itu namun tidak menjumpai barang salah. 

"Terdapat seorang wanita berusia 26 tahun di dalam kereta, namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ashari berkata, anggota peronda kemudiannya menghantar wanita itu ke rumah saudaranya di Telok Gong dekat sini.

"Kita sudah mengenal pasti suspek dan siasatan mendapati lelaki itu dipercayai melarikan diri kerana takut ditahan oleh pihak polis sebab berdua-duaan dengan teman wanitanya itu di dalam kereta. 

"Kereta suspek terbabas sendiri dan tiada sebarang kemalangan membabitkan kenderaan lain dan tiada tangkapan dan rampasan dibuat.​

"Semakan juga mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya.

 

Sumber: Harian Metro

Destination: