Insiden Hon Ketika Pengebumian Mangsa Tragedi Helikopter, Berpunca Dari Pemandu Yang Panik

TERKINI
April 25, 2024 - 04:47 PM


Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang pemandu kereta susulan kekecohan ketika upacara pengebumian Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli, di Masjid Jamek Sungai Nibong malam tadi seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid berkata kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan, 46, telah dilanggar oleh motosikal di bahagian kanan kereta ketika berada di jalan raya berhadapan masjid itu kira-kira 7.45 malam.

"Pada masa sama, pengadu (lelaki itu) mendapati ramai orang awam telah mengepung kereta dan pengadu telah tertekan hon kereta akibat berasa panik dengan keadaan semasa itu. Tiba-tiba kereta pengadu telah dikerumuni orang ramai dan kereta pengadu mengalami sedikit kerosakan.

"Bagaimanapun kekecohan berjaya dileraikan oleh anggota PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) yang turut berada di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Razlam menjelaskan kejadian berlaku ketika upacara pengebumian Pegawai Memerintah Skuadron 503 TLDM yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas di Lumut, Perak Selasa lepas di masjid berkenaan dan pengadu mengaku tidak mengetahui mengenai upacara itu serta tidak sengaja tertekan hon kereta.

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu hingga boleh menjejaskan siasatan polis selain mengganggu-gugat ketenteraman awam.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Khianat).

Destination: