Isu Stoking Kalimah Allah: Pengasas KK Mart, Isteri & Tiga Pengarah Dibebaskan
TERKINIPada Mac lalu, isu tentang penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di salah satu cawangan KK Supermart telah menimbulkan kemarahan orang Islam di negara ini sehingga menyebabkan pihak atasan yang terlibat didakwa di mahkamah.
Terkini, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. dan isterinya telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini dari tuduhan berkaitan stoking kalimah Allah.
Mereka adalah Datuk Seri Chai Kee Kan, 57 dan Datin Seri Loh Siew Mui, 53, yang mendapat perintah itu selepas diputuskan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.
Turut mendapat perintah sama adalah tiga pengarah Xin Jian Chang Sdn. Bhd yang juga tiga beranak iaitu Soh Chin Huat, 61; isterinya, Goh Li Huay, 62; dan anak mereka, Soh Hui San, 36.
Mahkamah memutuskan demikan selepas pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan pertuduhan terhadap kesemua tertuduh.
Untuk rekod, dua syarikat dan lima individu ini mengemukakan representasi pada 17 Mei lalu kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan kes berkenaan.
Pada 26 Mac lalu, Kee Kan dan Siew Mui yang juga Pengarah KK Super Mart & Superstore mengaku tidak bersalah atas masing-masing satu pertuduhan, sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking tertera kalimah Allah di rak pameran jualan, yang telah dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway pada jam 6.30 pagi 13 Mac lalu, mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, syarikat pembekal yang mengedar barangan kepada KK Super Mart iaitu Xin Jian Chang Sdn Bhd bersama tiga pengarahnya, didakwa atas masing-masing satu pertuduhan bersubahat melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.
Semua mereka berdepan peruntukan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit salah mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama.
Sumber: Malaysia Gazette