Kejadian Tanah Jerlus Bersifat Setempat, Masjid India Selamat Dikunjungi - DBKL

TERKINI
September 11, 2024 - 12:38 PM


Antara tanda tanya masyarakat Malaysia mahupun pelancong luar negara adakah selamat untuk mengunjungi sekitar Masjid India susulan insiden tanah jerlus pada 23 Ogos lalu yang meragut nyawa seorang pelancong India selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter.

Segala persoalan itu itu telah pun dijawab melalui Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Insiden Tanah Jerlus Masjid India hari ini dan mendapati bangunan dan kawasan di Jalan Masjid India adalah selamat untuk dikunjungi.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, kesemua agensi terlibat telah melaporkan hasil dapatan masing-masing dalam mesyuarat tersebut.

“Berdasarkan laporan tersebut, didapati bahawa kejadian tanah jerlus adalah bersifat setempat.

“Merujuk kepada maklumat geologi dan rekod penyiasatan tanah sedia ada, lokasi insiden tanah jerlus terletak atas formasi Kenny Hills dan secara amnya terdiri daripada selang lapis batuan schist, phyllite dan quartzite,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, DBKL kini sedang mengecilkan kawasan hoarding di tapak kejadian yang sebelum ini sepanjang 160 meter bermula dari Wisma Yakin sehingga Pondok Polis Jalan Masjid India.

“Kawasan hoarding yang baharu akan dibahagkan kepada tiga bahagian iaitu dari susur masuk tempat letak kereta bawah tanah Wisma Yakin sehingga simpang Jalan Masjid India/Lorong Bunus 1.

“Kawasan lain adalah mendapan kedua iaitu di hadapan Pondok Polis Masjid India dan sebahagian Lorong Tuanku Abdul Rahman 3,” jelasnya.

Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Insiden Tanah Jerlus Masjid India hari ini dipengerusikan oleh Pengarah Eksekutif Perngurusan Projek DBKL, Mohamad Hamim.

Mesyuarat dihadiri wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) dan Indah Water Konsortium (IWK)

Turut hadir Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Institusi Jurutera Malaysia (|EM) dan Pertubuhan Geoteknikal Malaysia (MGS).

Destination: