Kes 2 Beradik Makan Keropok Beracun: Pekebun Dibebaskan Dengan Jaminan Polis

TERKINI
July 18, 2024 - 12:22 PM


Seorang lelaki berusia 33 tahun yang direman bagi membantu siasatan berhubung kematian dua beradik akibat termakan keropok mengandungi racun, dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, suspek direman sejak 11 Julai hingga Rabu.

"Tempoh reman tidak akan disambung dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya. Kertas siasatan sudah lengkap dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. 

Lelaki terbabit yang juga merupakan seorang pekebun ditahan kerana menyebabkan dua beradik iaitu Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan adiknya Muhammad Luth Syauqi, 2, meninggal dunia selepas makan keropok yang mengandungi racun tikus.

Dalam kejadian yang berlaku pada 7 Julai di kawasan kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, kanak-kanak tersebut dipercayai mengambil peket keropok yang digantung pada dawai besi pagar kebun oleh pemilik kebun bagi memerangkap monyet. 

Muhammad Akil Syauqi dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) 10 Julai, manakala Muhammad Luth Syauqi meninggal dunia dua hari kemudian di hospital sama.

Jenazah dua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, Baling.

Siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan 

 

Sumber: Berita Harian

Destination: