Kes Bunuh Farah Kartini: Anggota Polis Didakwa Dibawah Seksyen 302
TERKINISeorang anggota polis, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 26, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini Abdullah yang mayatnya ditemui di sebuah ladang kelapa sawit.
Tertuduh berdepan pertuduhan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh bagaimanapun hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Mahkamah menetapkan 30 Ogos depan bagi sebutan semula kes dan penyerahan laporan pemeriksaan DNA dan telekomunikasi oleh pasukan pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah melakukan perbuatan itu dengan menyebabkan kematian Nur Farah Kartini diantara jam 9 pagi 10 Julai sehingga jam 6.00 petang 15 Julai lalu di Ladang SKC Kledang, Mukim Hulu Bernam, Hulu Selangor.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron dan Muhammad Azri Zakaria, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Aida Md Zainuddin dan Aida Jaafar Md Ariff.