Kes Covid Naik Mendadak, KKM Keluar Arahan Pelaksanaan Dos Penggalak Ketiga
TERKINIKementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan arahan pelaksanaan dos penggalak ketiga vaksin COVID-19.
Ia susulan peningkatan kes baharu yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan itu akan melibatkan golongan rentan iaitu pesakit kronik dan warga emas yang lebih berisiko untuk dijangkiti.
"Mungkin sedikit waktu lagi KKM akan keluarkan arahan," katanya selepas Perhimpunan Bulanan Bersama Warga KKM di sini pada Khamis.
Menurut beliau, bekalan vaksin sedia ada mencukupi bagi menampung keperluan rakyat dalam usaha kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19.
"Andai kita laksanakan, masih ada bekalan yang belum mencapai tarikh luput dan ia mampu melindungi daripada pelbagai strain COVID-19," katanya.
Terdahulu KKM pada Rabu memaklumkan bilangan jangkitan COVID-19 pada Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023) meningkat dua kali ganda berbanding sebelumnya.