Korang Boleh 'Claim' Bayaran Balik Tiket MYAirline Jika Perjalanan Sudah Luput

TERKINI
November 02, 2023 - 03:29 PM


Penumpang yang terjejas berikutan penggantungan operasi syarikat penerbangan MYAirline sejak 12 Oktober lalu boleh menuntut bayaran balik menerusi proses 'charge back' (caj balik) sekiranya tarikh perjalanan sudah luput.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata perkara itu disahkan Bank Negara Malaysia (BNM) selepas perbincangan bersama Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) diadakan.

"MAVCOM mengadakan perbincangan bersama pihak BNM berkenaan isu pembayaran balik kepada pelanggan yang terjejas dalam hal ini.

"BNM mengesahkan penumpang yang membeli tiket melalui kad kredit, kad debit dan debit (FPX) terus boleh menuntut pembayaran balik melalui proses 'charge back' (caj balik) sekiranya tarikh perjalanan sudah luput.

"Ia boleh dituntut dengan menghubungi MYAirline atau bank sendiri," katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, hari ini.

PERINCIAN BAYARAN TUNTUTAN BALIK 

Memperincikan isu tuntutan balik, Loke berkata, mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016, penumpang yang terjejas hendaklah ditawarkan bayaran balik dalam tempoh 30 hari.

Katanya, mereka juga layak mendapat tuntutan bagi nilai penuh tiket yang dibayar termasuk cukai dan fi, bagi sebahagian atau mengikut bahagian perjalanan yang tergendala.

Beliau menegaskan, Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui MAVCOM sedang memantau perkembangan semasa berhubung isu itu dan akan memastikan semua aduan serta perkara yang dibangkitkan penumpang terjejas diselesaikan sepenuhnya.

Loke berkata, MYAirline memberi jaminan kepada MAVCOM untuk menunaikan kewajipan membuat bayaran balik kepada penumpang terjejas.

Loke berkata, berdasarkan data terkini yang diterima daripada MYAirline, penggantungan operasi syarikat itu menjejaskan 117,461 penumpang.

"Penumpang membeli tiket penerbangan bagi tujuh laluan domestik dan dua laluan antarabangsa iaitu Kuala Lumpur-Pulau Pinang, Kuala Lumpur-Kota Bharu, Kuala Lumpur-Langkawi, Kuala Lumpur-Kota Kinabalu, Kuala Lumpur-Tawau, Kuala Lumpur-Kuching, Kota Kinabalu-Tawau dan Kuala Lumpur-Suvarnabhumi (Bangkok) dan Kuala Lumpur-Don Mueang (Thailand).

"Jumlah harga tiket yang dijual sehingga Mac 2024 bernilai RM22,090,184 juta," katanya.

LESEN MYAIRLINE MASIH DIGANTUNG

Menyentuh tindakan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantung Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) syarikat MYAirline mulai 16 Oktober lalu, Loke berkata, ia bagi membolehkan audit keselamatan terperinci dijalankan untuk menilai semula keupayaan syarikat penerbangan itu.

Jelasnya, MAVCOM mengambil tindakan berasaskan peruntukan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) untuk menilai semula pemberian Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) syarikat terbabit.

"Ia termasuk mengenakan penalti kewangan sekiranya gagal mematuhi peruntukan perlindungan pengguna sebagaimana yang ditetapkan di bawah MACPC," katanya.

Sumber: Berita Harian

Destination: