KPDN Serbu Peniaga 'Curi' 10 Sen Setiap Kali Pelanggan Imbas Kod QR

TERKINI
June 26, 2024 - 03:03 PM


Seorang peniaga kedai makan di Jalan Tun Ali, Melaka yang mengenakan caj tambahan minimum 10 sen untuk setiap transaksi kod QR di premis mereka, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, hari ini. 

Serbuan tersebut dilakukan KPDN susulan aduan orang awam berhubung tindakan peniaga berkenaan yang didakwa mengenakan caj tambahan ke atas pelanggan yang membayar menggunakan kod QR. 

Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar berkata, serbuan kira-kira pukul 10.30 itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada pengguna mendakwa dikenakan caj tambahan apabila menggunakan kemudahan e-dompet di gerai terbabit. 

“Peniaga berusia 60-an itu memberitahu pelanggan bahawa caj 10 sen dikenakan bagi bayaran bawah RM10, kalau bawah RM20 ia menjadi 20 sen dan ia adalah tetapan dibuat oleh pihak bank bagi penggunaan perkhidmatan e-dompet," katanya.

Namun hasil semakan pihak KPDN dengan penyedia perkhidmatan pembayaran tanpa tunai itu mendapati tiada caj sedemikian dikenakan kepada pelanggan.

"Selepas kita mengadakan pengesahan, penyedia perkhidmatan mengesahkan bahawa tiada caj dikenakan terhadap perkhidmatan secara dalam talian seperti dilakukan peniaga berkenaan.

"Justeru kami dapati tindakan peniaga terbabit yang dikesan dilakukannya sejak awal tahun ini adalah satu kesalahan dan pihak KPDN negeri sudah membuka satu kertas siasatan berhubung perkara itu," jelasnya.

Siasatan dilakukan atas kesalahan mencatut di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, manakala peniaga premis itu dikompaun RM200 selepas didapati tidak mempamerkan tanda harga.

Sementara itu, ketika disoal oleh wartawan MalaysiaGazette, peniaga wanita itu mendakwa caj berkenaan ditentukan oleh pihak bank, bukan pihaknya.

“Kalau nak bayar guna ‘scan’ (imbas kod QR), kena tambah 10 sen bagi setiap RM10 harga makanan. Kalau RM30 kena caj 30 sen sebab bank suruh bukan saya suka-suka," katanya. 

Seorang pelanggan yang ditemui tentang caj yang dikenakan peniaga tersebut berkata, dia terpaksa membayar RM14.20 untuk harga sarapan pagi walaupun harga makanan dinikmati adalah RM14.

“Terkejut juga sebab belum pernah lagi saya makan di kedai lain kena caj tambahan sebegitu walaupun cuma 20 sen. Alasan diberikan caj berkenaan bank yang tetapkan begitu 10 sen bagi setiap RM10.

“Tiada notis makluman ditampal dan saya hanya mengetahui caj itu ketika hendak membuat pembayaran membuatkan rasa teraniaya,” katanya. 

 

Sumber: Harian MetroMalaysiaGazette

Destination: