Kronologi Kes Nidza Afham: Mayat Penyanyi Ditemukan di Sungai Klang
TERKINIKetua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat lelaki dewasa yang ditemukan di Sungai Klang, petang tadi adalah Muhammad Nidza Afham Mokhtar.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses selanjutnya.
"Ya. Mayat ditemui kira-kira jam 7 petang. Dipercayai adalah adik penyanyi yang dilaporkan hilang semalam (Nidza Afham)," katanya ketika dihubungi, malam ini.
Pada 13 Ogos 2024, media sosial dikejutkan dengan berita kehilangan penyanyi muda, Nidza Afham Mokhtar. Nidza yang dikenali melalui rancangan realiti ‘I Can See Your Voice Malaysia’, dilaporkan hilang selepas keluar berjoging di Stadium Sultan Sulaiman, Klang.
Berikut adalah kronologi kejadian yang membawa kepada penemuan mayatnya.
Kehilangan dilaporkan Nidza Afham, 23 tahun, dilaporkan hilang selepas keluar berjoging di Stadium Sultan Sulaiman, Klang pada malam 13 Ogos 2024. Beliau meninggalkan rumah sekitar jam 7.45 malam menggunakan perkhidmatan e-hailing, InDrive dan sampai di Stadium Klang pada jam 8.17 malam.
Kali terakhir Nidza membalas mesej teman wanitanya, Miera pada jam 9.04 malam. Jam 11.53 malam, Nidza tidak menjawab panggilan Miera.
Lokasi terakhir
Lokasi terakhir keberadaan Nidza adalah di Jambatan Kota berhampiran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK). Kehilangannya’ itu membuatkan ahli keluarganya risau, lalu datang ke lokasi untuk mencari Nidza. Mereka kemudian didatangi dua lelaki (penarik kenderaan) yang kebetulan berada di lokasi tersebut dan membantu mereka mencari Nidza di sekitar kawasan jambatan.
Dua lelaki itu kemudian berlari sehingga ke hujung jambatan baru dan menemui telefon bimbt dan dompet milik Nidza dalam keadaan ‘tersusun.
Usaha mencari
Keluarga dan pihak berkuasa menjalankan usaha mencari, termasuk melaungkan azan di Jambatan Sungai Klang pada 3.31 petang oleh bapanya sebagai ikhtiar mengesannya.
Penemuan mayat
Pada 14 Ogos 2024, mayat seorang lelaki dewasa ditemui di sungai sekitar Jambatan Sungai Klang dan disahkan sebagai Nidza Afham oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. Mayat mangsa ditemui oleh seorang pemancing yang kemudian segera melaporkan penemuan itu kepada pihak berkuasa.
Pengesahan keluarga
Keluarga Nidza mengesahkan tiada unsur pergaduhan atau kes pinjaman wang yang terlibat dalam kehilangan ini. Mereka juga menyatakan bahawa Nidza tidak menunjukkan sebarang perilaku pelik sebelum kejadian.
Siasatan awal polis
Polis percaya, kes Nidza berkaitan dengan kes samun. Ini kerana penemuan dompet dan telefon bimbitnya di Jambatan Sungai Klang dalam keadaan mencurigakan. Kad debit dan wang tunai miliknya hilang, manakala kad pengenalan, kad pelajar dan gambar masih berada dalam dompet.
Sumber : BHarian