Lelaki Menyamar Jadi Askar Sebab Nak Perhatian & Makanan Percuma Ditahan Polis
TERKINIZaman sekarang ini, macam-macam perangai pelik dilakukan dengan niat untuk mendapatkan sesuatu perkara atau kemahuan. Antara perangai pelik yang dilakukan oleh seorang lelaki adalah berpura-pura menjadi askar.
Menurut laporan dari Sinar Harian, seorang lelaki berusia 20 tahun telah bertindak menyamar sebagai anggota tentera di sebuah hospital dengan memakai pakaian seragam bercorak seperti askar.
Penyamaran lelaki itu terbongkar apabila seorang anggota tentera selepas melihat tatacara pemakaian seragam yang tidak tepat.
Menyedari terdapat kesalahan dalam pemakaian seragam lelaki tersebut, anggota tentera itu menghampiri suspek dan meminta kad pengenalan tentera. Walau bagaimanapun, lelaki berkenaan gagal menunaikan permintaan dan hanya menunjukkan kad pengenalan dirinya.
Susulan itu, suspek telah ditahan oleh pihak polis selepas tindakannya yang menyamar sebagai tentera dilaporkan oleh anggota tentera berusia 36 tahun itu.
Tangkapan lelaki itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad yang berkata, tangkapan terhadap suspek dibuat selepas menerima laporan.
"Tangkapan semula telah dibuat ke atas lelaki itu dan beberapa barang kes dirampas termasuk sepasang baju uniform celoreng digital warna hijau, sepasang kasut taktikal hitam, sehelai kemeja-T dan tali pinggang kancas hitam berkepala besi.
"Siasatan awal, suspek memberitahu dia memakai pakaian seragam tentera di hospital kerana mahu menarik perhatian orang ramai dan untuk mendapat makanan percuma," katanya.
Tambahan lagi, suspek juga menyatakan minatnya untuk menjadi anggota tentera. Suspek memaklumkan bahawa pakaian seragam tentera itu dibeli di sebuah kedai pakaian di Tambun.
Kes ini disiasat dibawah Seksyen 140 Kanun Keseksaan kerana memakai apa-apa pakaian, atau membawa apa-apa token yang menyerupai pakaian atau token yang digunakan oleh askar, kelasi atau tentera udara.