Malaysia Berdepan Risiko Hilang Keistimewaan Jika Ramai Langgar Peraturan
TERKINIMemasuki musim haji yang bakal tiba, terdapat kes yang membabitkan rakyat Malaysia menyalahgunakan visa untuk mengerjakan ibadah haji telah dilaporkan.
Terbaru, Malaysia dilaporkan berdepan risiko hilang keistimewaan yang diberi kerajaan Arab Saudi jika secara berterusan melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan negara itu termasuk menggunakan visa pelancong untuk mengerjakan haji.
Menurut Ketua Rombongan Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman, dia mengharapkan rakyat Malaysia untuk tidak menyalagunakan visa itu bagi tujuan melaksanakan haji kerana ia akan mencalarkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang menjaga peraturan dan undang-undang.
"Setakat ini rakyat Malaysia diberi keistimewaan untuk mengerjakan umrah menggunakan visa pelancong. Saya nasihatkan rakyat Malaysia sentiasa patuh dan ikut peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi," ujarnya ketika diminta mengulas mengenai 300 jemaah terkandas di Makkah selepas dikatakan terpedaya dengan pakej haji murah yang ditawarkan agensi pelancongan tidak bertanggungjawab.
Syed Salleh juga menjelaskan bahawa mereka yang datang dari luar Arab perlu ada visa haji, penduduk tempatan dan pemastautin pula perlu mempunyai permit haji untuk melaksanakan haji, selain visa haji tidak sah untuk laksanakan haji.
"Visa pelancong, visa umrah, visa perniagaan, visa pelajar dan sebagai semuanya tidak dibenarkan melaksanakan haji melainkan visa haji iaitu visa rasmi bagi setiap negara ataupun mujamalah kepada individu tertentu sahaja untuk menunaikan haji," katanya lagi.
Kerajaan Arab Saudi dikatakan sudah mula membuat sekatan jalan raya dan memantau jalan tertentu untuk memastikan bahawa hanya yang ada visa haji sah untuk masuk kawasan beribadat haji terutama di Makkah.
"Saya ingin tekankan sudah menerima beberapa laporan daripada kerajaan Arab Saudi bahawa mereka sudah mula membuat tangkapan kepada agensi yang cuba menawarkan khidmat haji kepada mereka yang datang menggunakan visa pelancong ataupun visa umrah," katanya lagi.
"Sebelum ini pun kerajaan Arab Saudi sudah mengumumkan penguatkuasaan penalti sebanyak 10,000 riyal bagi pelanggaran peraturan dan arahan musim haji termasuk memasuki tujuh kawasan tanpa visa haji yang sah," jelasnya.
Untuk rekod, Malaysia merupakan tiga negara yang memperoleh keistimewaan mengerjakan umrah menggunakan visa pelancong oleh kerajaan Arab Saudi sedangkan visa itu adalah kemudahan kepada negara bukan Islam bagi tujuan pelancongan. Selain Malaysia, negara Brunei dan Kazakhstan turut mendapat keistimewaan yang serupa.
Sumber: Berita Harian