Polis Buka Kertas Siasatan Susulan Tular Isu 'Hentikan Boikot' Dalam Khutbah Jumaat Di Perak

TERKINI
May 27, 2024 - 11:45 AM


Beberapa hari lalu, kecoh di media sosial mengenai teks khutbah solat Jumaat pada 24 Mei yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak yang bertajuk ‘Menghayati keadilan sejagat dalam kehidupan bernegara’. 

Menerusi teks tersebut, Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh telah menyuarakan pandangannya berhubung isu boikot atau memulaukan perniagaan tertentu yang perlu dihentikan kerana berlawanan dengan keadilan Islam, selain ia tidak menepati sunnah Rasulullah SAW dan menjurus kepada kezaliman.

Selain itu, dalam teks itu juga menjelaskan kesan buruk yang boleh berlaku terhadap ekonomi negara daripada tindakan boikot yang dijalankan. 

Perkara tersebut telah mengundang perhatian daripada pelbagai pihak sehingga Menteri Besar Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad juga diminta untuk mengulas mengenai isu tersebut pada 24 Mei lalu. 

Menurut beliau, pihak Jabatan Mufti Perak akan memberikan penjelasan berhubung maksud sebenar dalam teks khutbah berkenaan. Tambahnya lagi, penjelasan daripada pihak berkenaan adalah penting untuk memurnikan keadaan agar dapat memberikan pemahaman kepada masyarakat.

Selain itu, beliau juga mengesahkan teks itu telah disediakan pihak Jabatan Mufti dan ditandatangi Mufti Perak sendiri dan dalam pada masa meminta semua masyarakat untuk kekal bertenang sementara menunggu penjelasan diberikan dari pihak berkenaan.

“Nasihat saya pada orang ramai tak perlulah kita mengamuk, mengamuk tak selesai masalah, tak perlu kita menghasut, menghasut pun tak selesai masalah, jadi kita bertenang,” ujarnya. 

Terkini, pada 26 Mei lalu, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan selepas tular penyebaran video palsu berhubung teks khutbah Jumaat yang menyentuh isu boikot tersebut. 

@nurhafizulbadrulhisham Buktikan kita lebih menjaga agama daripada elaun dunia. #silvertiktokers #boikot #khutbah ♬ Powerful songs like action movie music - Tansa

Jelas Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abang Ahmad, kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kata beliau, laporan yang diterima adalah daripada seorang lelaki yang berusia 42 tahun pada 25 Mei lalu ekoran tidak berpuas hati terhadap satu video yang dimuat naik oleh seorang individu di TikTok.

“Daripada keterangan diberikan, lelaki terbabit menyifatkan ulasan dalam video tersebut boleh mengganggu gugat ketenteraman awam khususnya umat Islam di Perak,” katanya. 

Jelasnya lagi, kandungan dalam video itu adalah ulasan berhubung isu boikot sewaktu khutbah pada 24 Mei lalu.

“Hanya satu laporan diterima setakat ini.

“Orang ramai dinasihatkan agar lebih peka dan sensitif dalam berkongsi maklumat yang boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara,” ujarnya. 

Memandangkan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin masih belum berakhir sehingga menyebabkan banyak nyawa terkorban, ramai yang bersolidariti dengan memboikot barangan atau produk yang menunjukkan sokongan terhadap Zionis. 

 

Sumber: X & The Rakyat Post

Destination: