Polis Buru Lelaki Larikan Kereta Bersama Warga Emas Di Dalamnya

TERKINI
June 05, 2024 - 10:21 AM


Semalam, tular satu klip video CCTV yang menunjukkan insiden sebuah Honda City dibawa lari di Kuantan, Pahang selepas pemiliknya meninggalkan seketika untuk pergi ke tandas.

Menerusi video yang dikongsikan pengguna X, @DianaParish kereta tersebut adalah milik saudaranya dan telah dibawa lari oleh seorang lelaki. 

Menurut Diana, ketika kejadian, pemilik kereta dan ayahnya turun daripada kereta untuk pergi ke tandas, sementara ibunya pula menunggu di dalam Honda City tersebut. 

Tidak lama kemudian, datang seorang lelaki botak masuk ke dalam kereta dan membawa lari warga emas yang juga seorang pesara guru. 

Semasa kereta dibawa lari, warga emas itu sempat membuang keluar beberapa beg daripada kereta, dipercayai untuk elakkan lelaki botak itu mencuri barangan berharga tersebut. 

Selepas itu, wanita berusia 66 tahun tersebut ditinggalkan kira-kira 400 meter dari stesen minyak tanpa kecederaan manakala lelaki itu terus melarikan kereta berkenaan sekitar jam 3.10 petang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata siasatan awal mendapati suspek datang ke stesen minyak itu dengan menaiki motosikal curi jenis Honda EX-5. 

“Hasil siasatan mendapati suspek datang ke stesen minyak itu dengan sebuah motosikal jenis Honda EX-5 sebelum melarikan kereta pengadu. 

“Motosikal itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan sudah dibawa ke balai untuk tujuan pemeriksaan lanjut.

“Semakan nombor casis juga menunjukkan kenderaan itu hilang sebelum ini.

“Anak mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan jam 3.34 petang semalam. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

 

Sumber: X & Kosmo

Destination: