Polis Sahkan Mati Dibunuh, Ini Dia Kronologi Kes Zayn Rayyan

TERKINI
December 08, 2023 - 11:14 AM


Beberapa hari kebelakangan ini, negara kita dikejutkan dengan isu hangat berkenaan dengan seorang kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan yang berusia enam tahun yang sebelum ini dilaporkan hilang ditemui meninggal dunia berdekatan anak sungai berdekatan kawasan kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai, Selangor dipercayai dibunuh.

Pelbagai spekulasi muncul tentang pembunuhan anak kecil tersebut. Berikut adalah kronologi kes berkenaan dengan kematian adik Zayn Rayyan:

1) 5 Disember, 12:30 tengah hari

Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin iaitu Ismanira Abdul Manaf, 28, berkongsi mengenai kehilangan anaknya di platform Facebook. Postingan tersebut dikongsi ke platform-platform media sosial lain.

Difahamkan mereka singgah di taman permainan kerana Zayn ingin bermain buaian. Semasa mereka berjalan pulang, Ismanira sedang membawa beg runcit dan berada betul-betul di hadapan Zayn.

Bagaimanapun, di tangga bangunan, ketika dia menoleh ke belakang, dia terkejut apabila mendapati anaknya telah hilang tanpa jejak, kerana dia tidak mendengar sebarang bunyi seperti bunyi tapak kasut atau bunyi anak lelakinya berlari.

Ismanira cepat-cepat pergi ke taman permainan dan sekitar blok untuk mencari Zayn tetapi gagal.

2) 5 Disember, 6:36 pagi

Kerana gagal menemui anaknya, Ismanira telah pergi ke balai polis untuk membuat laporan berkenaan dengan kehilangan Zayn.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata polis menerima laporan kehilangan mangsa pada jam 6.36 petang pada hari yang sama Zayn menghilangkan diri.

Polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat mencari Zayn di sekitar perkarangan pangsapuri dan anak sungai berhampiran pangsapuri itu tetapi tiada jejak Zayn. Usaha mereka pada hari tersebut tidak membuahkan hasil apabila pasukan itu tidak dapat mencari Zayn.

3) 6 Disember, 11:00 pagi

Pencarian kanak-kanak itu diteruskan pada hari kedua oleh pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta penduduk pangsapuri itu pada pukul 11 pagi walaupun hujan lebat.

Anjing penghidu dari Unit Anjing Pengesan (K9) turut dibawa membantu pencarian dan kawasan anak sungai turut digeledah semula namun tiada sebarang tanda atau jejak Zayn dijumpai.

4) 6 Disember, 4:12 petang

Terdapat laporan bahawa beberapa orang kanak-kanak memberitahu mereka melihat Zayn masuk ke kawasan belukar yang berhampiran.

Zayn juga dikatakan bermain di tingkat tiga blok kediamannya tetapi melarikan diri sebaik melihat kehadiran orang lain. 

Pada ketika ini, ibu Zayn, Ismanira berkata boleh jadi anaknya yang berkeperluan khas itu pergi ke rumah seseorang.

"Anak saya istimewa jadi dia akan memasuki mana-mana rumah jika pintu terbuka," katanya, sambil menambah bahawa nalurinya memberitahunya bahawa Zayn berada tidak jauh.

Pihak polis dan jabatan yang terlibat menghentikan pencarian seketika dan disambung semula pada sebelah petang.

5) 6 Disember, 9:00 malam

Pencarian disambung semula oleh sekumpulan 40 anggota polis bersama 60 penduduk yang dibahagikan kepada pasukan. Operasi itu memeriksa 2,484 rumah di Pangsapuri Idaman untuk mencari budak itu.

Pasukan itu diketuai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid.

6) 6 Disember, 10:00 malam

Ketika pasukan menyisir bangunan dan kawasan berhampiran, mereka menemui mayat Zayn di sebelah anak sungai berhampiran yang terletak kira-kira 200 meter dari pangsapuri itu pada kira-kira jam 10 malam.

Fakhruddin mengesahkan penemuan itu, menyatakan mayat itu ditemui selepas pencarian menyeluruh melibatkan polis, bomba dan penyelamat, unit K9 dan orang awam. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

Fakhruddin menegaskan, kawasan tebing sungai itu digeledah sebanyak dua kali pada hari pertama dan hari kedua namun tiada apa-apa. Beliau berkata bahawa lokasi mayat ditemui sebenarnya adalah sebahagian daripada laluan air dan siasatan lanjut akan dijalankan.

7) 7 Disember, 4:30 petang

Pihak Forensik telah selesai menjalankan bedah siasat ke atas mayat Zayn. Hasil bedah siasat mendedahkan bahawa terdapat kecederaan pada leher Zayn dan badannya, yang meningkatkan syak wasangka penglibatan jenayah yang menyebabkan polis mengklasifikasikan semula kes itu sebagai pembunuhan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mangsa dibunuh dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, sebuah tangkap layar telah tersebar di media sosial yang menunjukkan perbualan tentang hasil bedah siasat Zayn. 

8) 7 Disember, 6:00 petang

Susulan bedah siasat, jenazah Zayn dikembalikan kepada ahli keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara pada Khamis.

Jenazah Zayn tiba di tanah perkuburan sekitar jam 6.49 petang selepas solat jenazah dilangsungkan di Masjid Al Muhtadim, Damansara Damai.

 

Sumber: Harian Metro & Sinar Harian

Destination: