Pusat Hiburan Di KL Terbakar Dibaling Bom

TERKINI
May 10, 2024 - 09:58 AM


Sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng dilaporkan terbakar selepas dipercayai dibaling dengan bom petrol, awal pagi tadi. 

Terdahulu, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 45 saat berhampiran premis terbabit tular di media sosial.

Rakaman itu menunjukkan empat lelaki menaiki dua motosikal berhenti di hadapan premis terbabit dan membaling dua bom petrol sebelum beredar dari lokasi kejadian.

Satu lagi rakaman video berdurasi 42 saat yang turut tular di media sosial pula menunjukkan premis berkenaan terbakar dengan terdapat orang awam membantu memadamkan kebakaran. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Nazron Abd Yusof ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Kita ada menerima laporan berhubung kejadian itu dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan. Berdasarkan rakaman CCTV itu, kejadian berlaku jam 2.18 pagi tadi tetapi masa sebenar kejadian masih disiasat,” katanya. 

 

Sumber: Buletin TV3

Destination: