"Ramai Tak Puas Hati" - Bekas Kerani Polis Langgar 3 Motorsikal Mengaku Tidak Bersalah

TERKINI
January 18, 2024 - 03:06 PM


Bekas pesara kerani Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang yang tular kerana memandu secara berbahaya sebelum melanggar tiga motosikal di Jalan Bukit Gambir, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas tiga pertuduhan terhadapnya.

Tertuduh, Tan Leuk Ley, 76, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Mengikut pertuduhan, wanita warga emas itu didakwa telah memandu kereta jenis Perodua Myvi dengan kelajuan berbahaya menyebabkan kemalangan terhadap lima individu yang terdiri daripada tiga penunggang serta dua pembonceng motosikal.

Mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 15 hingga 40 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Jalan Bukit Gambir pada jam 2.15 petang, 27 November lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga 5 tahun dan didenda RM5000 hingga RM15,000 ringgit serta hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

3 Mac ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen termasuk laporan perubatan mangsa kemalangan.

Destination: