"Saya Tak Sengaja Rogol Anak" - Penoreh Getah

TERKINI
July 30, 2024 - 12:31 PM


Seorang lelaki yang juga merupakan penoreh getah telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas dia pertuduhan rogol dan melakukan amang seksual ke atas anaknya sendiri yang berusia 14 tahun. 

Dilaporkan kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah sekitar jam 5 pagi di Kampung Sungai Sam, Kuala Krai. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh yang berusia 44 tahun itu tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol anak kandungnya berusia 14 tahun dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 sebatan maksimum, jika sabit kesalahan. 

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap anak kandungnya yang juga mangsa sama.

Pertuduhan tersebut didakwa mengikut Seksyen 15(C) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 akta yang sama. Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya. 

Terdahulu, tertuduh yang mempunyai tiga anak memohon jaminan dibenarkan dengan alasan dia tidak sengaja melakukan perbuatan itu terhadap anaknya.

Ahmad Faiz Fitri bagaimanapun meminta jaminan tidak ditawarkan memandangkan kes berkenaan adalah serius dan mangsa adalah anak kandungnya.

Mahkamah kemudiannya memutuskan tiada jaminan ditawarkan dan menetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes. 

 

Sumber: Buletin TV3

Destination: