Sibuk Dengan 'Member', Puteri Kerajaan Dubai Ceraikan Suami Melalui Instagram

TERKINI
July 19, 2024 - 12:30 PM


Puteri kerajaan Dubai, Sheikha Mahra bint Mohammed bin Rashid Al Maktoum telah mengejutkan orang ramai apabila membuat pengumuman menceraikan suaminya di laman media sosial, Instagram. 

Pengumuman tersebut jelas menarik perhatian orang ramai memandangkan usia perkahwinan mereka baru mencapai setahun lebih.

Melalui hantaran di Instagramnya, Sheikha Mahra menceraikan suaminnya, Sheikh Mana bin Mohammed bin Rashid bin Mana Al Maktoum dengan kata-kata: “Dear Husband, memandangkan awak sibuk dengan teman-teman lain, saya dengan ini mengisytiharkan perceraian kita.” 

Bukan itu sahaja, Sheikha Mahra juga mengulang perkataan cerai sebanyak tiga kali seolah-olah mengambarkan talak tiga, jenis talak dalam agama Islam.

“Saya menceraikan awak, saya menceraikan awak, dan saya menceraikan awak.

"Jaga diri awak. Bekas isteri awak," kata Sheikha Mahra mengakhiri ayatnya. 

Setakat artikel ini ditulis, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan baik daripada kerajaan UAE mahupun Sheikh Mana mengenai perkara ini.

Sheikha Mahra dan Sheikh Mana melangsungkan perkahwinan pada April 2023 dan mereka baru menimbang cahaya mata pertama dua bulan lepas. 

Untuk makluman, Sheikha Mahra adalah anak kepada pemerintah Dubai Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum (75) yang juga naib presiden dan perdana menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE). 

 

Sumber: Instagram & Jurnas

Destination: