Suspek Curi Honda City Sempat Ceroboh Rumah Di Karak Sebelum Diberkas Polis

TERKINI
June 06, 2024 - 02:47 PM


Suspek yang sebelum ini tular kerana mencuri kereta di sebuah stesen minyak di Semambu, Kuantan telah berjaya diberkas polis.  

Difahamkan, suspek sempat tidur selama kira-kira dua jam selepas menceroboh sebuah rumah di Kampung Chinta Manis di Bentong sebelum ditahan pihak polis. 

Suspek dikatakan meninggalkan kereta Honda City di Pekan Karak dan menumpang orang awam untuk ke Kampung Chinta Manis sebelum menceroboh sebuah rumah yang diduduki sepasang suami isteri bersama 3 orang anak. 

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, hasil maklumat awam mengenai kes pencerobohan rumah, satu serbuan dilakukan di rumah tersebut pada pukul 12.45 malam ketika suspek sedang tidur di ruang tamu rumah.

“Berdasarkan keterangan pemilik rumah, pada pukul 10 malam suspek datang ke rumah berkenaan dan terus masuk ke dalam rumah.

“Suspek kemudian mengurung penghuni rumah dalam sebuah bilik dan suspek telah tertidur di ruang tamu sebelum pemilik rumah menghubungi polis,” katanya. 

Tambah Yahaya, susulan penahanan suspek, polis berjaya menemukan kenderaan Honda City dicuri yang telah ditukarkan nombor pendaftaran palsu.

Katanya, kenderaan berkenaan tidak mengalami kerosakan dengan hanya kesan calar di beberapa bahagian selepas tampalan poster dipercayai dikikis oleh suspek bagi mengelak ia dikesan.

“Pihak polis turut merampas sejumlah barangan termasuk satu bilah pisau, satu bilah pisau lipat, dua bilah gunting, tiga telefon bimbit dan beberapa barangan lain,” katanya.

Menurut sumber, suspek yang berusia 40 tahun itu mempunyai beberapa rekod jenayah adalah bekas banduan yang baru dibebaskan.

Sebelum ini, tular satu video memperlihatkan suspek membawa lari sebuah kereta Honda City di sebuah stesen minyak dengan seorang warga emas dilaporkan terperangkap di dalam kenderaan itu, sebelum membebaskan mangsa 300 meter dari lokasi kejadian. 

 

Sumber: Kosmo

Destination: