"Tiada Sebab Pengusaha Bas Sekolah & Bas Ekspres Naikkan Kadar Tambang" - Anthony Loke

TERKINI
June 12, 2024 - 12:50 AM


Isu tentang penetapan harga diesel pada kadar RM3.35 seliter di Semenanjung Malaysia yang berkuatkuasa mulai Isnin (10 Jun) masih lagi hangat diperkatakan. 

Kenaikan tersebut telah menimbulkan kerisauan orang ramai berkenaan kenaikan harga untuk perkara yang lain seperti barang dan perkhidmatan atau tambang bas. 

Terbaharu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan pengusaha bas sekolah dan bas ekspres tidak sepatutnya menaikkan kadar tambang ekoran pengumuman penetapan harga baharu diesel baru-baru ini.  

Ini kerana subsidi diesel telah diberikan kepada pengusaha bas ekspres dan sekolah. Jadi, mereka tidak terkesan dengan penyasaran subsidi diesel yang diumumkan kerajaan. 

“Ini tak sepatutnya berlaku (kenaikan tambang), subsidi diesel terus diberikan kepada pengusaha bas ekspres dan bas sekolah.

“Mereka tidak ada kesan dari segi kenaikan harga diesel sebab pengusaha bas sekolah, bas ekspres ini sudah sedia terima subsidi. 

“Mereka sudah menerima subsidi dan tidak ada perubahan dari segi itu kerana mereka diberikan kad fleet dan harga Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 iaitu pengusaha bas ekspres dan sekolah kekal pada harga RM1.88 seliter.

“Jadi apa yang mendorong mereka nak naikkan harga? Jika soal ini digunakan sebagai alasan untuk menaikkan harga tambang bas sekolah atau bas ekspres, itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya. 

 

Sumber: BERNAMA

Destination: