"Ustaz Rasa Selesa Ke?" - Dr Akmal 'Sound' JAIM Biarkan Setahun Murid Belajar Di Lantai

TERKINI
May 16, 2024 - 11:48 AM


Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah dibidas teruk oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhammad Akmal Saleh ekoran menjadi punca 34 murid di sebuah sekolah agama terpaksa belajar di atas lantai sejak setahun lalu. 

Menerusi video yang dikongsikan di platform media sosial, Dr Akmal hadir ke sebuah sekolah agama bagi meninjau keadaan semasa selepas memperoleh aduan ketiadaan keperluan asas yang diperlukan oleh murid.

Dalam video tersebut, ADUN Merlimau yang masuk ke sebuah kelas terkejut apabila diberitahu kelengkapan belajar murid-murid itu tidak disediakan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) hampir setahun.

Berhadapan dengan wakil daripada JAIM yang dipercayai ustaz, Dr Akmal dilihat 'mengamuk' dan menempelak individu berkenaan kerana gagal menyediakan kerusi dan meja kepada murid walaupun telah mendapat kelulusan Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Melaka sejak Disember tahun lalu.

“Peruntukkan dah masuk bulan 12 (2023), perlu sampai lima bulan? Ustaz buat apa ni ustaz?…Inilah masalahnya kita ambil sambil lewa, buat banyak birokrasi akhirnya sampai lima bulan. 

“Orang (rakyat) mengadu dekat saya tanya bila anak-anak boleh dapat tempat duduk (kerusi dan meja) sebab kita duduk dalam Mesyuarat Exco paling lambat pun dua tiga bulan sebab kita dah ada bajet,” tempelaknya. 

Keadaan bertambah panas apabila ustaz tersebut menyalahkan Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Melaka kerana lambat menguruskan perkara itu.

Ketua Pemuda UMNO itu kemudiannya segera menghubungi Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh untuk mendapat kesahihan namun dinafikan Salhah kerana telah meluluskan peruntukan yang diperlukan.

“Sebab birokrasi JAIM ini yang saya rasa melambatkan kerja (dan) kalau nak kerja buat cara nak kerja, ustaz jangan sambil lewa kerana kita ini berkhidmat untuk rakyat. 

“Kalau tidak, saya bawa dalam Mesyuarat Exco, kita rombak semua JAIM lagi senang,” katanya. 

Situasi menjadi makin tegang apabila ustaz berkenaan memaklumkan memerlukan tambahan lagi tiga bulan untuk menyelesaikan masalah itu.

Susulan itu, Dr Akmal memutuskan untuk membeli sendiri kelengkapan belajar untuk kegunaan murid. Dalam pada itu, beliau juga kesal melihat birokrasi dalam JAIM sehingga murid terpaksa belajar di lantai akibat tiada meja dan kerusi. 

@drakmalsaleh Tidak boleh saya terima apabila anak2 kita terpaksa belajar di lantai akibat tiada meja & kerusi Bila mana proses birokrasi menyusahkan rakyat inilah akibatnya #drakmalsaleh ♬ The Champion - Lux-Inspira

 

Sumber: TikTok

Destination: