"Nenek Keras Kepala" Pemilik Glamping di Melaka Belasah Warga Emas Tular
TERKINITular di media sosial satu video yang memaparkan seorang lelaki bertindak mencederakan seorang wanita warga emas di sebuah kawasan kampung berdekatan tapak perkhemahan.
Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di laman X akaun @kekhalid, lelaki yang didakwa sebagai pemilik kepada sebuah tapak glamping di Melaka itu dilihat memukul kepala warga emas terbabit beberapa kali.
Video tersebut dikongsi di laman subreddit r/Malaysia oleh Grace Tai. Menurut beliau, wanita didalam video tersebut merupakan neneknya dan mereka telah melakukan laporan polis sebelum membawa wanita itu untuk mendapatkan rawatan di hospital.
Kononnya, lelaki tersebut merupakan salah seorang pengendali Baruh Glamping, sebuah tapak glamping yang terletak di Tanjung Kling, Melaka. Pengendali tapak glamping tersebut didakwa sering membakar sampah secara terbuka dan kebetulan, tapak glamping tersebut terletak berhampiran dengan rumah keluarga Grace dan menyebabkan asap itu selalu masuk ke rumah mereka.
Dalam satu hantaran di Facebook, Grace juga menyatakan yang perkara ini telah berlaku selama bertahun-tahun. Perkara ini sedikit sebanyak memberi kesan pada kualiti hidup mereka terutamanya gangguan bunyi dan sisa-sisa barang pengubahsuaian didakwa milik tapak glamping tersebut.
Lebih buruk, tiada tindakan dilakukan oleh pihak berwajib berkenaan pembakaran terbuka itu walaupun aduan telah diajukan pada agensi seperti Majlis Bandaraya Melaka, Kementerian Alam Sekitar dan air malahan pada pihak polis. Dikatakan pengendali tapak glamping tersebut hanya menerima notis amaran sahaja.
Katanya nenek tak puas hati owner tapak Glamping selalu bakar sampah belakang rumah. Nenek pergi sound lepastu kena pukul dgn owner. pic.twitter.com/G7nLFQKUV8
— Café Clope Caca (@kekhalid) January 28, 2024
Dakwa pemilik video, kejadian tersebut berlaku kerana lelaki berkenaan berang selepas ditegur kerap membakar sampah di belakang kawasan rumah warga emas itu.
“Katanya nenek tak puas hati owner tapak glamping selalu bakar sampah belakang rumah. Nenek pergi ‘sound’ (tegur) lepas itu kena pukul dengan owner,” ciapnya.
Penularan video tersebut telah menaikkan kemarahan rata-rata pengguna X atas tindakan lelaki terbabit yang disifatkan tidak mempunyai belas kasihan terhadap warga emas.
Bagaimanapun, pihak glamping terbabit menerusi satu kenyataan balas di laman Facebook rasminya mendakwa bahawa warga emas berkenaan yang bertindak dahulu memukul salah seorang pekerjanya.
Ak faham perasaan owner ni, facing dgn org tua yg degil mcm ni mmg mncabar. Bila org tua x hormat kita, maki kita. Kita kena telan je. Bila kita marah org tua netizen maki kita. Ckp mmg senang, cuba duduk dkt situasi kitaorg. Ni vid 1/100 apa mkcik ni duk buat dekat cmpsite aku! pic.twitter.com/EHaSlofbGg
— jaslin puasa (@JaslinPuasa) January 29, 2024
Menurutnya, video yang tular di media sosial telah disunting (crop) bagi menampakkan bahawa pihaknya yang bersalah dan warga emas terbabit sebagai mangsa keadaan.
“Jangan tengok video yang dipotong, lepas itu buat jadi mangsa keadaan, nenek ini yang memukul nenek yang bekerja di glamping kami. Nenek yang dipukul berumur 70 tahun.
“Video yang pihak sana kongsikan telah disunting (crop), tunjuk dia kena pukul padahal pihak kami halau dia dan rampas kayu agar dia tidak pukul lagi,” tulisnya.
Menurutnya lagi, warga emas terbabit turut menghasut dan mengadu kepada orang ramai bahawa pihaknya telah melakukan kekotoran.
“Kami kemas kawasan sekitar glamping agar tidak ada ular dan binatang lain untuk keselamatan bersama, (tapi) tuduh kami buang sampah.
“Hari ini sangat melampau sampai pukul pekerja glamping, kami sekadar mempertahankan diri. Berlaku pergelutan tapi video ‘dicrop’ agar nampak pihak jiran kami tak salah,” tulisnya lagi.
Berkongsi lanjut, mereka turut menyerahkan kes terbabit sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.