Tiada Lagi Caj Tersembunyi Dalam Tiket Penerbangan, Mulai 1 Jun Ini!

TERKINI
May 28, 2019 - 12:54 PM


Berita baik untuk kaki travel yang selalu menggunakan perkhidmatan kapal terbang.

Mulai Sabtu ini (1 Jun), pengguna kapal terbang tidak perlu lagi berdepan dengan sebarang caj tersembunyi kerana semua syarikat penerbangan telah dikehendaki mempamerkan harga akhir bagi tambang tiket di dalam iklan mereka dan sewaktu urusan pembelian tiket.

Keputusan itu adalah selaras dengan pindaan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2019 oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), pada 10 Mei lalu.

Selepas ini syarikat penerbangan juga perlu mendedahkan harga selepas menambah caj-caj lain seperti cukai dan yuran yang dikenakan kerajaan serta surcaj bahan api.

Malah, bayaran untuk perkhidmatan pilihan seperti bagasi, tempat duduk dan makanan juga perlu dipamerkan dan dimasukkan ke dalam harga akhir untuk pembelian tiket.

Ia bertujuan menghapuskan caj tersembunyi seperti yuran pentadbiran dan caj pembayaran kad.

Menerusi peraturan baharu itu juga, pengguna boleh memohon bayaran balik tiket kapal terbang yang gagal membuat penerbangan, dalam tempoh 30 hari dari tarikh permohonan, meskipun tiket yang dibeli adalah melalui ejen travel.

Syarikat penerbangan juga hanya dibenarkan mengenakan fi pemprosesan maksimum sebanyak 5%, sekiranya tiket yang dibeli tiada nilai bayaran balik.

Kalau korang nak mengetahui lebih banyak mengenai hak-hak sebagai penumpang kapal terbang, korang boleh download aplikasi FLYSMART!

Di situ juga korang boleh mengetahui pelbagai tip perjalanan dan mengemukakan aduan berkenaan khidmat penerbangan serta mengesan status aduan korang.

Best, kan? Memang patut korang yang kaki travel ada 'kawan karib' macam FlySmart ni.