7 Jenama Yang Lebih Murah Dan Berbaloi Dibeli Jika Ke Jepun

January 22, 2020 - 11:15 AM


Selain pelbagai tarikan menarik yang boleh diterokai, Jepun juga merupakan salah satu negara yang terkenal dengan pelbagai barangan berjenama yang berkualiti dan harga yang boleh diterima akal. Tengok sahaja kedai konsep mereka yang dibuka disini seperti MUJI, Uniqlo, Daiso dan lain – lain.

Dengan adanya kemudahan yang ada, barangan dari Jepun tak dinafikan mudah untuk diperolehi disini berbanding dahulu namun ada beberapa jenama yang sebenarnya lebih murah sekiranya dibeli di Jepun dan dalam bahasa mudahnya, berbaloi untuk beli kalau bercuti ke sana.

Waktu terbaik untuk beli belah di Jepun adalah waktu jualan murah musim panas iaitu dari Jun hingga pertengahan Ogos atau jualan murah musim sejuk yang biasanya berlangsung pada November hingga Januari.

Mengikut kesesuaian musim, paling ditunggu biasanya jualan murah hujung tahun iaitu pada 29 hingga 31 Disember dan dua minggu pertama tahun baharu dan biasanya, kebanyakkan kedai akan menawarkan fukubukuro atau ‘fortune bag’ bagi pelanggan bertuah.

Untuk dapatkan tawaran terbaik, boleh ke Shizouka dan cari Gotemba Premium Outlet atau cari sahaja mana – mana Mitsui Outlet yang ada sekitar Jepun. Kalau nak yang paling besar, ada di Kisarazu.

Berikut adalah 7 jenama yang berbaloi untuk dibeli di Jepun :

 

#1. G-SHOCK

Harga G-Shock sejak azali lagi diketahui dijual lebih murah berbanding dengan harga jualan di pasaran Malaysia. Dikeluarkan oleh sebuah syarikat elektronik Jepun, Casio, G-Shock menampilkan reka bentuk yang trendy serta sporty. Tidak hairan kenapa jam ini merupakan satu ‘fenomena’ di Malaysia dengan ada pengumpul serta komuniti peminat mereka yang sanggup berhabis ribuan ringgit.

Difahamkan, pengeluaran G-Shock sekarang ini ada yang dari China dan Thailand namun model dan keluaran dari Jepun masih boleh dijumpai dengan harga yang berpatutan.

 

#2. SEIKO

Seiko merupakan salah sebuah nama yang tidak asing lagi dan ia sudah berada di pasaran sejak tahun 1881 dan memang diketahui mengeluar dan menjual jam. Seiko mempunyai rangkaian dan koleksi yang pelbagai untuk disesuaikan oleh pemakai.

Salah satu cara untuk pastikan Seiko itu dikeluarkan di Jepun adalah tulisan ‘Made in Japan’ yang tertulis di belakang jam dan di sesetengah model yang ‘atas’ akan berada di permukaan jam. Untuk model yang limited atay vintaj,dijual di outlet Seiko terpilih sahaja.

 

#3. Lush

Walaupun berasal dari UK, produk kosmetik antarabangsa Lush ini harganya agak murah di Jepun, pilihan pun banyak.

Contoh; bath bomb di Jepun hanya JPY590 iaitu sekitar RM21, kalau di Malaysia pulak, harganya RM36.

 

#4. MUJI

Diasaskan pada 1980 oleh Seiji Tsutsumi, MUJI mengetengahkan konsep minimalis dan kalau anda perasan, setiap produk dari MUJI tidak mempunyai logo. Kalau nak diikutkan, pakaian dan beg agak mahal kalau nak dibandingkan harga dekat Malaysia.

Apa yang patut dicari adalah alat tulis, buku nota dan barangan bersaiz ‘travel’ yang akan dijual dengan murah tiap kali jualan habis musim.

 

#5. Onitsuka Tiger

Ditubuhkan pada 1949, Onitsuka Tiger merupakan syarikat pengeluar kasut paling tua di Jepun dan rangkaian serta rekaan kasut yang dikeluarkan kekal relevan dan stylish sehingga hari ini.

Jika anda peminat Onitsuka, boleh pergi ke cawangan Shibuya yang merupakan cawangan kedua terbesar di Jepun selepas Namba di Osaka. Kalau anda peminat ‘deadstock’ boleh cuba nasib di SKIT Tokyo Kichijoji yang mana turut menjual kasut jenama lain.

 

#6. Adidas

Jenama pengeluar pakaian sukan terbesar di Eropah ini sebenarnya boleh dikatakan murah di Jepun dan barangan ‘wajib’ beli adalah kasut! Untuk dapatkan potongan harga yang banyak, boleh cari di Gotemba Premium Outlet atau cawangan flagship Adidas Originals di Harajuku.

Kalau rasa nak cuci mata, boleh ke Shinjuku dan cari Adidas Brand Core Store yang merupakan butik Adidas terbesar di Jepun dan disini terdapat 3 tingkat yang hanya menjual kasut atau footwear!

 

#7. UNIQLO

Kalau nak dibandingkan, tak jauh mana harga di Jepun dan Malaysia, cuma cawangan Uniqlo di sana akan adakan pelbagai jenis diskaun dan promosi bermusim selain mempunyai lebih banyak pilihan dan koleksi.

Sebelum masuk mana – mana cawangan Uniqlo di Jepun, cari dan ambil leaflet yang biasanya diletakkan di pintu untuk ketahui senarai barangan promosi harian atau mingguan. Jangan lupa untuk tengok barangan yang mempunyai tag merah iaitu barangan yang baru mendapat potongan harga.

Destination: