Nak Cepat Ketika Di Airport? Gunakan Checklist Serta Tips Ini

September 19, 2019 - 05:35 PM


Bila dah dekat dengan tarikh penerbangan, mulalah hati rasa gundah gulana tak tentu arah. Lagi – lagi hari kita nak berangkat, bertambah debarnya. Mana tidaknya, dah lama plan nak bercuti, hari yang ditunggu tiba. Selalunya, mesti kita akan rasa tak senang duduk selagi belum sampai ke boarding gate kan?

Manalah tahu, sangkut dekat imigresen ke, terlepas penerbangan ke, macam – macam boleh jadi. Tak kiralah sama ada korang dah biasa, atau pertama kali, korang boleh rujuk checklist yang kami nak kongsi ini.

Harap dengan adanya checklist ni, korang punya perjalanan ke airport boleh dipercepat dan dipermudahkan lah.

SEBELUM KELUAR RUMAH

Selain daripada dah packing barang siap – siap sehari sebelum, apa yang korang boleh lakukan untuk mempercepatkan proses di airport adalah check – in secara online. Ini kami sangat syorkan, melainkan korang ada nak check-in luggage.

Timbang, atau pastikan beg yang dibawa adalah tak lebih muatan yang dibenarkan. Kalau tak, korang kena beratur panjang lah di KLIA atau KLIA 2 tu.

Pastikan kesemua dokumen berkenaan perjalanan tu diletakkan setempat. Kalau dalam beg, pastikan di bahagian yang senang diakses dan sediakan awal – awal. Bukan dah didepan pegawai pemeriksa tu baru nak cari! Lambat!

Buat salinan dokumen penting seperti passport, nombor telefon kecemasan dan sebagainya. Nak selamat, muat naik di Google Drive atau Cloud. Setidaknya korang boleh akses menggunakan internet dari mana – mana.

Jika bawak backpack atau hand-carry, pastikan tiada toiletries bersaiz penuh. Transfer ke botol – botol kecik. Cari di Daiso ada jual. Gunakan syarat 3-1-1 iaitu botol 3.4 oz (100 ml) , 1 beg segi empat lutsinar atau ziplock, 1 beg seorang penumpang.

Terakhir, pastikan tak ada barang – barang terlarang. Ini korang kena semak dengan pihak berwajib negara yang korang nak tuju sebab setiap negara ada undang – undang sendiri. Tapi kebanyakannya barangan utama yang tak dibenarkan adalah sama. Contohnya, vape tidak dibenarkan di Thailand. Jadi, jangan nak cuba – cuba.

 

DI BALAI BERLEPAS

Setibanya di airport, biasanya perkara pertama yang kita akan cari adalah informasi berkenaan pintu pelepasan.

Kalau dah check-in secara online, kita boleh terus ke boarding gate. Pemeriksaan keselamatan dan sebagainya. Kalau korang ada bag yang nak dimasukkan, ini korang kena datang seawal 3 jam atau 4 jam sebelum.

Bergantung pada penerbangan korang. Tapi, kalau musim cuti tu, kami nasihatkan untuk keluar awal. Ada bagasi, pastikan kaunter betul sebelum letakkan beg dan supaya tak tersalah barisan. 

Kalau belum atau tak boleh check-in, jangan panik. Korang gerak awal je tipsnya, Cari mesein yang macam diatas. Cetak boarding pass, sekiranya ada bag nak dibawa masuk, pergi ke kaunter sepatutnya.  Macam yang kami tekankan, kalau ada bagasi atau tak boleh check in, datanglah awal ke airport. Setidaknya kalau ada perkara diluarjangka yang berlaku, korang tak terkesan. Jangan disebabkan sikap sambil lewa, kita terlepas penerbangan. 

Hancur percutian! 

 

DI PEMERIKSAAN KESELAMATAN

Kalau di KLIA atau KLIA 2, kita akan lalui 3 checkpoint keselamatan. Yang pertama di pintu sebelum masuk balai berlepas. Kedua, scan passport (untuk penerbangan antarabangsa) dan pemeriksaan imigresen yang pertama.

Ketiga, pemeriksaan penuh imigresen yang mana dekat sini biasanya lama sedikit.

Apa yang korang kena buat di pemeriksaan keselamatan untuk mempercepatkan proses adalah :

Keluarkan kad pengenalan / passport siap – siap serta boarding pas untuk disemak oleh pegawai berkenaan.

Kasut, tali pinggang, barang kemas, jam, duit syiling dan segalanya yang boleh dikesan oleh mesin pengimbas, korang kena letakkan dalam bekas yang disediakan. Keluarkan laptop dari beg utama, letakkan sekali dengan barang – barang tadi. Biasanya, kami akan masukkan kesemua barang dalam poket beg ataupun poket jaket untuk elakkan dari tercicir.

Jaket atau kot pastikan dibuka dan diletakkan juga dalam bekas yang disediakan.

Tips : Kalau nak cepat di barisan ini, beratur dibelakang mereka yang travel solo, elakkan beratur dibelakang kumpulan atau keluarga.

 

DI PINTU PELEPASAN

Biasanya di KLIA atau KLIA 2, kita ada ruang menunggu. Satu je nak pesan, sentiasa peka dengan penukaran pintu pelepasan korang. Sebelum masuk ruang menunggu, tengok dan baca betul – betul.

Perhatikan waktu boarding di boarding pass, kalau dah sampai waktu, dan masih tidak dipanggil, cuba cari maklumat di skrin yang tersedia. Kalau betul, betul lah. Kalau salah, bersedia untuk berlari cari gate baru.

Beratur dan tunggu giliran anda. Masuk awal pun, sampai sama jugak =D

Sekian. Selamat bercuti!