2023 Tahun Dijangka Kita Bebas Melancong Seperti Biasa

April 13, 2020 - 11:20 PM


Menurut kaji selidik yang dijalankan oleh LuggageHero mendapati bahawa kebanyakan orang akan memilih untuk melancong dalam negara, pilih destinasi yang dekat dan hanya dalam waktu yang singkat.

Manakala, Atmosphere Research Group (ARG) yang merupakan pakar pelancongan global mengatakan bahawa industri pelancongan akan pulih sedikit demi sedikit dalam masa 2 tahun selepas COVID-19 diisytiharkan di bawah kawalan.

Tidak pasti sama ada proses pemulihan akan bermula selepas COVID-19 di bawah kawalan dengan kadar jangkitan COVID-19 tiada lagi atau ketika vaksin berjaya dihasilkan dan tersedia di mana-mana.

Kemungkinan penularan wabak COVID-19 akan terkawal pada penghujung tahun 2020 dan dalam tempoh 6 hingga 9 bulan pertama diramalkan kumpulan pertama yang akan memulakan langkah meneroka semula dunia dikenali sebagai ‘tiptoe traveller’.

Golongan ini adalah terdiri daripada mereka yang memulakan perjalanan atas urusan perniagaan dan juga melibatkan perjalanan peribadi serta percutian. Kemudian, dalam tempoh 8 hingga 16 bulan pula akan berlaku gelombang ‘perintis’.

Bagi golongan ini, mereka akan memulakan perjalanan perniagaan bersama penumpang kerap serta diramalkan akan membuat perjalanan antarabangsa berjarak sederhana. Bagi tempoh 12 hingga 18 bulan kemudian, industri pelancongan yang melibatkan penerbangan, perhotelan dan banyak lagi akan mula sibuk.

Ketika ini, golongan ‘fast follower’ akan mula menerokai semula dunia dan sebahagian besar industri akan kembali hampir seperti sebelum berlakunya penularan wabak COVID-19.

24 bulan selepas COVID-19  berjaya dikawal, ARG menjangkakan bahawa industri pelancongan akan kembali pulih. Pastinya industri pelancongan terkesan berikutan penularan wabak COVID-19 ini dan memerlukan masa untuk pulih seperti sedia kala.