Bukan Sahaja Kena Vaksin, Jemaah & Pelawat Asing Ke Arab Saudi Juga Wajib Ada Insurans Covid-19!

May 04, 2021 - 01:52 PM


Jika sebelum ini Arab Saudi mengenakan antara syarat utama kemasukan jemaah haji ialah wajib mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 -- namun kini bukan sahaja jemaah, malah pelawat asing yang berkunjung ke Arab Saudi juga mesti mempunyai perlindungan insurans Covid-19.

Syarat terbaharu itu diumumkan Bank Pusat Saudi dan Majlis Koperasi Insurans Kesihatan pada Ahad, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Langkah ini bertujuan untuk menyediakan rawatan kesihatan kepada individu yang dilindungi insurans jika dijangkiti Covid-19 sepanjang tempoh mereka berada di negara itu dan membolehkan pesakit mendapat akses segera kepada rawatan.

Ia juga menyediakan perlindungan insurans untuk menampung kos bagi kes yang dikesan serta kuarantin, selain kes kecemasan untuk pemindahan perubatan, tambah SPA.

Sementara itu, untuk musim haji pada bulan Julai nanti -- Malaysia masih belum menerima sebarang makluman daripada kerajaan Arab Saudi berhubung kuota untuk rakyat negara ini menunaikan ibadat haji pada tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, sehingga kini pihaknya masih menunggu keputusan kuota yang ditetapkan kepada kerajaan Malaysia.

“Sehingga sekarang kerajaan Arab Saudi belum lagi mengeluarkan kuota untuk rakyat kita menunaikan ibadat haji dan kita masih menunggu keputusannya.

“Bagaimanapun, kita jangkakan kuota jemaah ini berkurangan sedikit banding kuota 40, yang diberikan kerajaan kerajaan Malaysia sebelum ini,” katanya.

Tahun lepas kerajaan Arab Saudi mengurangkan jumlah jemaah haji Malaysia kepada 1,000 orang sahaja bagi mengelak penularan Covid-19.

Menurut Ahmad Marzuk, kerajaan akan memenuhi syarat ditetapkan Arab Saudi terutama berkaitan suntikan vaksin.

Katanya, dalam apapun keadaan, Tabung Haji (TH) telah membuat persiapan awal dengan mengenal pasti nama yang diutamakan untuk menunaikan haji berdasar penilaian serta faktor kesihatan.

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: