Hotel Di Pulau Pinang Hampir 'Full House'

TIPS TRAVEL
October 15, 2021 - 09:50 AM


Tempahan hotel di Pulau Pinang pada cuti hujung minggu ini meningkat sehingga 80 peratus.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, K Raj Kumar berkata, peningkatan itu berlaku selepas pengumuman kerajaan berhubung kebenaran merentas negeri bermula Isnin lalu.

"Pada hari biasa, tempahan bilik di kebanyakan hotel di negeri ini mencapai 50 peratus dan meningkat ke 80 peratus pada hujung minggu ini.

"Kita berharap agar orang ramai terus berminat untuk melancong untuk membantu industri perhotelan bangkit semula," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, hotel di pulau ini terutama yang terletak di pantai mula sibuk membuat persiapan menerima pelancong sejak kebenaran rentas negeri diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad lalu.

Sementara itu, Raj Kumar berkata, pihaknya memohon kerajaan pusat supaya segera mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi operasi perhotelan ketika negara berada dalam fasa endemik nanti.
Beliau berkata, SOP itu perlu bagi mengelakkan berlaku kekeliruan dalam kalangan rakyat.

"Kita berharap SOP bagi fasa endemik ini lebih mudah difahami dan dikeluarkan oleh satu pihak sahaja agar tidak berlaku pertindihan arahan.

Pulau Pinang menjangkakan sekitar 50,000 pelancong akan mengunjungi negeri itu hujung minggu ini susulan kebenaran rentas negeri di seluruh negara bermula 11 Oktober lalu.

Exco Jawatankuasa Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin berkata, persiapan bagi menyambut kedatangan pelancong sudah pun dilakukan pemain-pemain industri pelancongan di negeri itu.

Pada Rabu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah bersiap siaga dalam menghadapi kemasukan kira-kira 50,000 pengunjung pada hujung minggu ini apabila membekukan cuti 2,342 kakitangannya.

Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang dilaporkan berkata, jumlah itu adalah 77.6 peratus daripada 3,109 jumlah keseluruhan kakitangan MBPP.

Destination: