Kerja Secara Halal Semasa Travel Ke New Zealand, Ini Perkara Yang Perlu Anda Tahu
Bekerja sambil melancong merupakan salah satu cara menampung perbelanjaan di luar negara, walaupun berisiko tinggi (salah gunakan dokumen perjalanan), ramai yang sanggup mengambil risiko ini atas sebab meneruskan kelangsungan hidup di tempat orang.
Sebut pasal bekerja sambil travel ni, ada kira – kira 36 buah negara yang ada tawarkan visa bekerja sambil melancong atau disebut sebagai working holiday visa dan masing – masing mempunyai syarat dan kriteria yang perlu dipenuhi. Antaranya adalah berumur antara 18 hingga 30 tahun dan tempoh sahlaku visa adalah selama 6 hingga 12 bulan (bergantung kepada negara).
Antara negara yang selalu orang pergi untuk bekerja sambil travel adalah Australia dan New Zealand dan untuk pengetahuan, New Zealand bakal buka permohonan working holiday visa kepada rakyat Malaysia bermula 23 Januari 2020 ini bermula jam 5 pagi waktu Malaysia.
Ada beberapa perkara yang perlu anda tahu tentang visa yang ditawarkan oleh kerajaan New Zealand ini iaitu; tempoh pekerjaan yang ingin dilakukan disana haruslah melebihi 6 bulan namun status pekerjaan bukanlah tetap atau sepenuh masa. Selain itu, pemohon perlu mempunyai simpanan sekurang – kurangnya NZ$2,250 (RM6,100) untuk menampung kos sara hidup di sana (tempat tinggal, makan minum dan lain – lain perbelanjaan).
Selain itu, kriteria paling utama selain tidak dibenarkan untuk mencari pekerjaan tetap ialah pemohon haruslah berumur antara 18 hingga 30 tahun dan untuk mereka yang sudah bekeluarga; anda tidak dibenarkan untuk membawa pasangan dan anak. Mereka perlu membuat visa yang berasingan.
Bagi memohon working holiday visa ini, permohonan perlu dilakukan secara online dan bayaran NZ$208 (~RM860) akan dikenakan. Bayaran boleh dilakukan mengguna kad kredit atau debit.
Untuk pengetahuan, setiap tahun kerajaan New Zealand memang akan keluarkan working holiday visa ini dan ada kuotanya kepada rakyat Malaysia iaitu 1150 sahaja dan mereka yang berjaya mendapatkan visa ini perlu travel ke sana dalam tempoh 12 bulan.
Secara rumusan; ini syarat yang perlu ditepati selepas mendapat visa :
- Perlu masuk New Zealand dalam tempoh 12 bulan selepas visa diperoleh.
- Tempoh sah visa dikira dari tarikh masuk New Zealand (jika berada diluar NZ), dikira dari tarikh terima (jika sudah berada di NZ).
- Dapatkan kebenaran masuk dengan mengisi arrival card (akan diberi semasa perjalanan ke NZ).
- Kemukakan bukti sama ada tiket keluar dari NZ atau wang yang cukup untuk membeli tiket keluar selepas tolak kos sara hidup.
- Ada sekurang – kurangnya NZD 2,250 (RM 6,140) untuk sara hidup.
- Melakukan apa sahaja jenis pekerjaan asalkan ianya bukan kerja tetap, sah disisi undang – undang, tidak menawarkan perkhidmatan seksual
- Perlu keluar dari New Zealand sebelum visa tamat tempoh
Jadi, kalau anda berminat untuk memohon visa ini, boleh ke laman web imigresen New Zealand untuk dapatkan maklumat lebih terperinci. Good luck!