Korang Plan Nak Bercuti Tioman Ke Tu? Nah, Check Dulu SOP Apa Yang Kena Tahu!

September 23, 2021 - 02:49 PM


Pulau Tioman sememangnya menjadi antara salah satu pulau peranginan kegemaran rakyat Malaysia untuk bercuti.

Bermula 1 Oktober ini pula, Tioman telah terpilih menjadi salah satu daripada 3 destinasi yang akan dibuka kepada kunjungan orang ramai selain Melaka dan Genting Highlands.

Dengan kebenaran pelancongan tersebut Kerajaan Negeri Pahang kini mewujudkan Pasukan Petugas Tioman yang dianggotai pelbagai agensi dan jabatan bagi tujuan pematuhan dan pemantauan prosedur operasi standard (SOP).

Berikut antara yang perkara yang bakal dilaksanakan bermula 1 Oktober nanti :-

  • Pegawai Daerah Rompin akan menjadi Pengerusi Pasukan Petugas Tioman dan mempunyai 6 jawatankuasa iaitu pandemik, keselamatan, kawalan pintu masuk, pelancongan, pengindahan bandar dan komuniti.
  • Sebagai contoh, aspek pandemik dikendalikan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Hospital Rompin, Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, imigresen, polis, kastam, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi kawalan pintu masuk manakala Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Tourism Pahang dan Persatuan Pengusaha Pelancongan Pulau Tioman dipertanggungjawabkan kepada aspek pelancongan.
  • Pengurusan kluster oleh PKD akan dilakukan jika berlaku lebih 5 kes positif Covid-19 dalam satu premis, di samping PKD membuat kawalan wabak dan penilaian risiko jika perlu mengeluarkan arahan penutupan premis dan sanitasi.
  • Cadangan supaya pelancong hanya dibenarkan menaiki feri di Jeti Teluk Gading (dahulunya dikenali sebagai Tanjung Gemok) di Rompin dan bukannya dari Mersing, Johor yang juga merupakan laluan masuk ke Pulau Tioman bagi memudahkan kawalan dan pemeriksaan saringan Covid-19.
  • Pelancong boleh membeli kit kendiri saringan di jeti atau di tempat lain namun ujian mesti dilakukan di terminal jeti, dengan mereka yang positif akan terus dibawa ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) sebelum ke Hospital Rompin atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) terdekat.
  • Selain produk tarikan utama di Pulau Tioman seperti aktiviti pantai dan sukan air, selam permukaan dan selam skuba, sukan lasak atau pengembaraan -- turut dibenarkan ialah memancing, pelayaran, berbasikal, berkhemah, mendaki gunung dan lawatan akademik ke Taman Laut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Mohd Sharkar Shamsudin berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang memilih Pulau Tioman sebagai antara destinasi awal dibuka semula kerana 90 peratus penduduk pulau itu bergantung sepenuhnya kepada pelancongan.

"Mereka kini sekurang-kurangnya mempunyai sedikit masa untuk mencari rezeki sebelum terpaksa dihentikan pada 15 Dis depan kerana musim tengkujuh dan kembali beroperasi pada Mac 2022. Jika tidak dibuka (kali ini) bermakna sudah dua tahun mereka tidak boleh beroperasi,” katanya.

Di Pulau Tioman terdapat 103 hotel dan inap desa yang menyediakan 1,821 bilik; 88 orang pemandu bot; 30 pusat selam dan pada 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda, ia menerima kehadiran 276,232 pelancong termasuk 86,257 pelancong antarabangsa.

 

Sumber: BERNAMA

Destination: