Moga Luahan lelaki Ini Mampu Sedarkan Masyarakat Kita Apabila Menginap di Hotel Ketika Bercuti!

October 21, 2021 - 07:24 PM


Pagi ni saya buffet breakfast di hotel. Biasanya saya lebih suka turun lewat dari bilik penginapan. Kalau 'last call' jam 10 pagi, jam 9.30 baru saya turun. Dari dulu lagi memang itulah amalan saya. Alasannya -nak elak kesesakan. Bila turun lewat sikit, keadaan lebih tenang. Makan pun senang. Lagipun saya jenis makan tak banyak. Nasi lemak, sedikit buah dengan kopi O pun dah cukup.

Nak dijadikan cerita, sedang saya minum, datang satu keluarga lima sekeluarga duduk betul-betul di depan meja saya. Suami isteri dan tiga anak. Rasanya anak yang sulung sekolah menengah dan dua lagi sekolah rendah.

Seperti biasa, masing-masing akan mula mundar mandir dapatkan makanan. Kemudian mereka kembali ke meja. Saya lihat mereka duduk bersama, angkat tangan dan si ayah mula memimpin bacaan doa makan. Baguslah begitu.

Selepas itu, kisah pun bermula. Si ayah dan anak-anak mula ulang alik ambil makanan. Lepas satu, satu pinggan penuh makanan di bawa ke meja. Si ayah belum sempat duduk menjamah makanan yang ada, terus dapatkan lagi makanan.

Anak-anak pun sama. Sehinggalah meja besar mereka penuh dengan makanan yang tidak dijamah. Penuh pinggan berisi makanan sampai ada pinggan terpaksa berlapis di atas meja.

Sambil hirup kopi pahit, saya terus lihat sahaja gelagat mereka. Lagipun meja mereka betul-betul di depan saya. Apa nak buat. Itu sahaja pandangan yang saya ada.

Saya lihat walaupun pinggan dah penuh meja, si ayah dan anak-anak terus ambil lagi makanan. Si ibu pula sebab meja dah penuh, mula menggabungkan makanan di dalam beberapa pinggan ke dalam satu pinggan. Dah mengunung jadinya makanan yang bercampur aduk di dalam pinggan.

Lebih kurang sejam kemudian, mereka seperti mula kenyang. Tapi makanan atas meja masih sangat banyak. Ada yang langsung tak bersentuh. Sebelum meninggalkan meja, saya lihat si ayah mula tindan pinggan yang kosong di atas pinggan-pinggan yang penuh makanan yang tidak disentuh tadi.

Kemudian datang pekerja pembersihan untuk mengemaskini meja keluarga tadi. Saya lihat beliau menggeleng-geleng kepala bila melihat makanan yang begitu banyak dan belum terusik. Tetapi beliau tetap kena buang. Beliau lihat saya, saya hanya senyum. Beliau kata pada saya 'sayangnya makanan ini'. Saya sekadar angguk kepala tanda setuju.

Mengapa ada antara kita jadi begini? Membazir makanan yang tidak sepatutnya kita lakukan. Apakah kerana kita telah membayar maka hak kita untuk membazirkan makanan?

Apakah kita tamak, takut makanan habis maka berlumba-lumba mengambil makanan yang akhirnya dibazirkan? Tak adakah rasa bersalah?

Mengapa sarapan pagi yang dimulakan dengan doa makan seisi keluarga tanda mensyukuri nikmat yang Allah swt berikan, diakhiri dengan pembaziran makanan tanda kita kufur pada nikmat tersebut.

Saya lihat budaya ini kerap berlaku di kalangan rakyat negara ini dan juga pernah melihat pelancong dari beberapa negara melakukan perkara yang sama apabila mereka datang ke negara kita. Tapi saya kena akui belum pernah ada pengalaman lihat mat salleh buat perkara yang sama . Belum lagi. Mungkin ada.

Walaupun banyak makanan dibazirkan, hotel tak rugi sebab mereka sudah kenakan bayaran. Tetapi kita semua lah yang rugi bila pembaziran berlaku dalam skala yang besar.

Paling mudah, harga barang makanan boleh menjadi mahal bila pembaziran makanan berlaku dengan jumlah yang besar. Ini hukum permintaan dan penawaran dalam ekonomi.

Kos pengeluaran makanan juga menjadi mahal bila pembaziran berlaku. Kos pengurusan sampah dan sisa makanan juga meningkat bila pembaziran yang besar berlaku.

Kitalah- anda, saya dan rakyat seluruhnya yang terpaksa menanggung semua kos tersebut, akibat pembaziran yang dilakukan oleh mereka yang tidak tahu bersyukur ini.

Anuar Ahmad

ps: Kita semua pernah alami situasi ini kan? Semoga ianya memberi mamfaat kepada kita semua tentang luahan lelaki ini. Terima kasih di atas perkongsian ini.